Skip to main content

Dunia

Saya sudah keluar UMNO, dedah mantan Menteri Besar Negeri Sembilan

Mantan Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohd Isa Abdul Samad mengesahkan bahawa beliau sudah keluar daripada UMNO dua hari lalu untuk bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, 13 Oktober ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Saya sudah keluar UMNO, dedah mantan Menteri Besar Negeri Sembilan

Mantan Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohd Isa Abdul Samad. (Gambar: YB Tan Sri Hj Mohd Isa Bin Dato' Hj Abd Samad/Facebook)

Diterbitkan : 28 Sep 2018 07:34AM Dikemas Kini : 28 Sep 2018 07:44AM

PORT DICKSON: Mantan Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohd Isa Abdul Samad mengesahkan bahawa beliau sudah keluar daripada UMNO dua hari lalu untuk bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, 13 Oktober ini.

Beliau berkata tindakan keluar daripada parti itu bukan atas desakan mana-mana pihak tetapi sebaliknya keinginannya untuk menabur bakti kepada rakyat di kawasan itu menyusuli tindakan UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak bertanding.

"Tidak timbul persoalan saya akan dipecat. Presiden UMNO (Dr Ahmad Zahid Hamidi) pun tak pernah tanya kepada saya selaku pemimpin kanan mengenai soal calon di Port Dickson dan mengapa pula saya nak bertanya dengan dia untuk saya bertanding," katanya di sidang media, malam semalam (27 Sep).

"Orang Port Dickson kenal saya dan tahu perkhidmatan saya, jadi saya serah kepada mereka untuk menilai," kata bekas Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang sambil menambah beliau belum memikirkan untuk menyertai mana-mana parti selepas ini.

Ditanya adakah penyertaannya di atas tiket bebas pada PRK ini bertujuan memeriahkan suasana, Encik Mohd Isa yang juga bekas Anggota Parlimen Jempol berkata ia bukan niatnya.

"Ini bukan pemilihan jawatankuasa kampung, ini pilihan raya. Kita masuk sebab nak menang bukan masuk nak kacau daun. Ini tak betul. Pilihan raya ini kita tak boleh buat main-main," katanya.

RK Parlimen Port Dickson diadakan selepas penyandang kerusi, Encik Danyal Balagopal Abdullah meletakkan jawatan baru-baru ini bagi memberi laluan kepada Ketua Umum PKR, Encik Anwar Ibrahim ke Dewan Rakyat.

Selain Encik Anwar dan Encik Mohd Isa, PAS turut mengumumkan Lt.Kol.(B) Mohd Nazari Mokhtar sebagai calon di samping calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon Bebas yang juga personaliti media sosial, Encik Stevie Chan Keng Leong.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lepas, Encik Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17, 710 undi mengalahkan calon BN, Encik V.S Mogan dan Encik Mahfuz Roslan daripada PAS.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita