Skip to main content

Dunia

"Saya sedia disiasat SPRM", kata Ahmad Zahid berhubung sumber dana UMNO

Anggaran Waktu Membaca:
"Saya sedia disiasat SPRM", kata Ahmad Zahid berhubung sumber dana UMNO

Gambar: Bernama

Diterbitkan : 12 Mar 2023 10:10PM
JOHOR BAHRU; Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi pada Ahad (12 Mac) menyatakan kesediaan untuk disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung sumber dana parti itu.

Encik Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata beliau bersifat terbuka kerana beliau sebelum ini pernah disiasat SPRM.

“Saya sentiasa terbuka. Saya sendiri pernah disiasat…dibawa ke mahkamah dan saya bersedia pada bila-bila masa, tetapi janganlah menepuk air di dulang, tentu muka kita terpercik…jadi (Tan Sri Muhyiddin Yassin) hadapilah apa-apa yang patut dihadapi. 

Saya telah pun hadapi (siasatan sebelum ini) saya ucapkan selamat berjaya pada beliau (Muhyiddin),” katanya kepada pemberita selepas majlis pengenalan calon-calon Naib Presiden dan Majlis Kerja Tertinggi sempena Pemilihan UMNO sesi 2023-2026 di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, hari ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Presiden Bersatu itu yang menggesa agar SPRM menyiasat Ahmad Zahid dan Presiden PKR Anwar Ibrahim mengenai sumber dana parti politik mereka masing-masing.

Encik Muhyiddin, ketika menyampaikan ucapan dasar di Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu hari ini, dipetik sebagai berkata beliau membuat gesaan itu untuk memastikan siasatan sumber dana politik dibuat secara adil dan sama rata dan bukan beliau seorang sahaja yang patut didakwa di mahkamah.
 
Sumber : Bernama/SU/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita