"Saya percaya kepada dwipartisan", tegas Syed Saddiq

(Gambar: @syedsaddiq/Instagram)
KUALA LUMPUR : "Saya percaya kepada dwipartisan," tekan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Beliau merujuk kepada kerjasama antara parti politik lain bagi memberi tumpuan berkhidmat demi rakyat pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), lapor Astro AWANI.
Menerusi perkongsian terbaru beliau di Instagram, Encik Syed Saddiq berkongsikan gambar bersama Ahli Parlimen Pagoh Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata walaupun berada dalam parti yang berlainan, rasa hormat beliau terhadap mantan perdana menteri itu tetap kekal.
"Pilihan raya sudah tamat, kini masa untuk fokus berkhidmat. Walaupun berada dalam parti yang berlainan, hormat saya kepada Muhyiddin tetap kekal. Hormat kawan dan lawan.
"Dua jam berbual, mendapatkan perkembangan terkini selepas PRU. Muhyiddin juga pengundi saya di Muar. Jasanya banyak," Astro AWANI memetik kata-kata beliau.
Justeru, jelasnya lagi, mari bersama bina Malaysia yang ditadbir dengan integriti dan bermaruah, sebuah negara di mana semua rakyat Malaysia berasa di 'rumah'.
"Untuk Malaysia jadi negara maju, perlu ada keberanian untuk berkhidmat merentasi sempadan politik. Kita perlukan kerajaan yang kuat dan stabil dengan pihak pembangkang yang tegas untuk membawa negara ke hadapan.
"Ini masa untuk fokus bina semula Malaysia," tekannya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.