"Saya masih sayang anda", kata suami mangsa serangan Christchurch
Seorang jemaah berkerusi roda yang terselamat daripada pembunuhan beramai-ramai di Masjid Al Noor di Christchurch meskipun isterinya sendiri terbunuh berkata beliau memaafkan pelaku serangan tersebut dan ingin berjumpa dengannya untuk memberitahu: "Saya masih menyayangi anda."

Gambar fail. (Gambar: Edgar Su/Reuters)
CHRISTCHURCH: Seorang jemaah berkerusi roda yang terselamat daripada pembunuhan beramai-ramai di Masjid Al Noor di Christchurch meskipun isterinya sendiri terbunuh berkata beliau memaafkan pelaku serangan tersebut dan ingin berjumpa dengannya untuk memberitahu: "Saya masih menyayangi anda."
Seramai 50 orang maut di dua masjid di bandar South Island pada Jumaat lalu apabila seorang lelaki bersenjata menyerbu masuk lalu menembak para jemaah semasa mereka sedang mengerjakan solat.
"Saya mahu menyampaikan pesanan kepada individu yang melakukan serangan ini, atau jika dia mempunyai rakan-rakan yang juga berfikiran seperti ini: Saya masih menyayangi anda," kata Encik Farhid Ahmed, 59 tahun kepada Reuters dalam wawancara di rumahnya. Ramai orang datang menziarahinya untuk menyampaikan takziah atas kematian isterinya, Cik Husna.
"Saya tidak bersetuju dengan apa yang anda lakukan ... anda membuat keputusan yang salah, hala tujunya salah, tetapi saya percaya pada anda. Anda berpotensi besar dalam jiwa anda," katanya.
Warga Australia, Brenton Tarrant, 28 tahun, suspek yang disyaki penyokong tegar kuasa kulit putih, didakwa pada Sabtu lalu dengan tuduhan membunuh. Pertumpahan darah itu disifatkan sebagai insiden tembakan rambang paling dahsyat di New Zealand. Tarrant ditahan tanpa dibenarkan mengemukakan rayuan dan akan dihadapkan ke mahkamah pada 5 April di mana menurut polis, besar kemungkinan dia akan menghadapi lebih banyak tuduhan.
Encik Ahmed, yang berkerusi roda setelah dilanggar oleh sebuah kereta, berada di dalam Masjid Al Noor semasa penyerang itu menyerbu masuk. Beliau sedang bersolat tetapi bukan di tempat biasa, iaitu di dewan utama, tetapi dalam bilik berasingan bersama seorang rakan.
"Pada masa itu saya menyedari dua perkara. Yang pertama, memang benar ia adalah tembakan pistol, dan kedua, inilah hari terakhir saya," katanya. "Ini kerana dalam keadaan sedemikian, lebih-lebih lagi memandangkan saya menggunakan kerusi roda, ia mustahil untuk saya menyelamatkan diri."
Bagaimanapun pembunuh itu tidak pula memasuki bilik itu, dan Encik Ahmed berjaya keluar ke tempat letak kenderaan di mana beliau menyaksikan pembunuhan beramai-ramai itu berlaku, dari bahagian belakang sebuah kereta, di kawasan yang terletak bertentangan dengan masjid tersebut. Isterinya ditembak mati di luar masjid itu.
Setelah penyerang itu meninggalkan masjid tersebut dan meneruskan serangan di sebuah lagi masjid, Encik Ahmed masuk semula ke masjid berkenaan.
"Ia amat mengerikan," katanya. "Pada bahagian kanan, tempat di mana saya lazimnya solat, begitu ramai mayat."
Para mangsa yang cedera sedang menjerit-jerit. Beliau cuba menenangkan mereka sehingga pihak polis tiba, yang kemudian membawanya keluar.
"Pada ketika itu saya tidak tahu bahawa jenazah isteri saya berada di luar sebuah lagi pagar."
Menyusuli serangan itu, ramai yang masih terkejut atas serangan tersebut.
Bagaimanapun, sifat murah hati dan bersatu padu dapat dilihat dengan ketara, yang dipimpin oleh para mangsa yang terselamat seperti Encik Ahmed, yang menyampaikan ceramah di masjid berkenaan dan menggalak sikap saling memaafkan.
"Jika ada peluang, saya ingin berjumpa dengan anda," kata Encik Ahmed mengenai penembak itu. "Saya ingin memeluk anda dan memberitahu anda bahawa kata-kata saya ini jujur dan ikhlas, Saya tidak menyimpan dendam terhadap anda, saya tidak pernah membenci anda, saya juga tidak akan membenci anda," kata Encik Ahmed.
"Saya ingin memeluknya dan berkata: "Saya sudah memaafkannya"'. Saya ingin memberitahunya, jika dia mempunyai ibu, saya juga ingin memeluknya dan memberitahunya bahawa saya akan melayannya sama seperti makcik saya sendiri ... saya ingin menyampaikan mesej itu."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.