Skip to main content

Dunia

"Saya kritik tapi masih sokong Kerajaan Perpaduan," kata Syed Saddiq

Anggaran Waktu Membaca:
"Saya kritik tapi masih sokong Kerajaan Perpaduan," kata Syed Saddiq

Gambar: Facebook/Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

PETALING JAYA: Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menegaskan walaupun bersuara menentang pentadbiran Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim dalam beberapa isu, beliau masih menyokong Kerajaan Perpaduan.

Ahli Parlimen Muar itu pada masa sama, mempertahankan kritikan pedasnya terhadap kerajaan dan berkata, ia penting untuk membina demokrasi matang.
Syed Saddiq berkata, beliau menyuarakan kebimbangan sebenar berhubung beberapa isu seperti peruntukan kawasan pilihan raya tidak sama rata, pemusatan kuasa dan lanjutan kontrak tanpa kelulusan Parlimen.

"Terdapat begitu banyak perkara yang saya bangkitkan secara konsisten, tetapi semasa saya membangkitkannya, adakah saya kata saya akan menarik balik sokongan (untuk kerajaan perpaduan)? Tidak."

"Jadi, adakah saya akan terus lakukannya? Ya, kerana saya berada di sini kerana rakyat dan saya bertanggungjawab kepada pengundi saya untuk bersuara bagi memastikan Malaysia menjadi negara maju.

"Sejujurnya, ini kritikan membina yang disertakan penyelesaian dasar," katanya kepada agensi berita Free Malaysia Today.

Pada Isnin lalu, Syed Saddiq mempertikaikan kenyataan Perdana Menteri Malaysia itu bahawa jemaah menterinya bebas rasuah.

Katanya, kenyataan Encik Anwar menimbulkan persepsi memberi isyarat seolah-olah kes membabitkan Ahmad Zahid Hamidi, akan digugurkan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini, lapor agensi berita BH Online.

Syed Saddiq mendakwa, kenyataan itu memberi persepsi salah, terutamanya ketika beberapa institusi berada di bawah kawal selia Perdana Menteri termasuk Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengarah Komunikasi UMNO, Lokman Noor Adam kemudian menepis kenyataan Syed Saddiq dengan berkata, MUDA kecewa PH tidak memperuntukkan kerusi kepada mereka pada PRN akan datang.

Encik Lokman dipetik Utusan Malaysia sebagai berkata, "lebih terhormat" jika Syed Saddiq yang "bertindak seperti pembangkang" mengingatkan kerajaan perpaduan dan membuat haluan sendiri untuk MUDA.

Bagaimanapun, Syed Saddiq tetap tidak berputus asa dan mahu terus bersuara serta memberi maklum balas kepada kerajaan perpaduan.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita