Skip to main content

Dunia

"Saya kembali kepada UMNO tanpa tuntutan," kata Khairy Jamaluddin

Mantan Ketua Pemuda Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Khairy Jamaluddin menegaskan beliau kembali ke parti itu bukan dengan sebarang tuntutan, sebaliknya tekad untuk berkhidmat serta menyumbang sebaik mungkin demi memperkukuh parti.

Anggaran Waktu Membaca:
"Saya kembali kepada UMNO tanpa tuntutan," kata Khairy Jamaluddin

Mantan Ketua Pemuda Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Khairy Jamaluddin menegaskan beliau kembali ke parti tanpa sebarang tuntutan. (Gambar fail: Bernama)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 18 Apr 2026 09:06PM
KUALA LUMPUR: Mantan Ketua Pemuda Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Khairy Jamaluddin menegaskan beliau kembali ke parti itu bukan dengan sebarang tuntutan, sebaliknya tekad untuk berkhidmat serta menyumbang sebaik mungkin demi memperkukuh parti.

Encik Khairy yang juga mantan Ahli Parlimen Rembau berkata beliau bersedia untuk bekerjasama dengan semua peringkat kepimpinan dan akar umbi demi memulihkan keyakinan rakyat terhadap parti tersebut.

"Semoga keputusan ini menjadi titik permulaan baharu untuk kita melangkah ke hadapan dengan lebih bersatu, matang dan berwibawa," kata beliau dalam satu catatan di Facebook pada Sabtu (18 Apr).

Kenyataan beliau itu menyusuli keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada Jumaat malam yang menerima semula lebih 6,000 ahli termasuk beberapa mantan pemimpin kanan parti, antaranya mantan Naib Presiden, Hishammuddin Hussein, Encik Khairy dan mantan Menteri Luar, Dr Syed Hamid Albar.

Pada 2023, UMNO memecat Encik Khairy dan Ahli Majlis Tertingginya, Noh Omar manakala beberapa pemimpin lain termasuk Encik Hishammuddin, digantung keahliannya selama enam tahun.

Bagaimanapun, pada Mac lalu, Encik Khairy menyatakan hasrat untuk kembali menyertai parti itu menyusuli pengumuman Presiden, Dr Ahmad Zahid Hamidi yang "membuka pintu seluas-luasnya" kepada mantan ahli yang pernah dipecat atau digantung keahlian.

Encik Khairy berkata beliau mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Dr Ahmad Zahid atas kebijaksanaan serta pertimbangan yang diberikan dalam menerima kembali permohonannya sebagai ahli parti.

Ucapan terima kasih juga beliau ditujukan kepada seluruh Ahli MT UMNO yang membuat keputusan itu dengan penuh hikmah dan keinsafan terhadap masa depan perjuangan parti.

"Saya menerima keputusan ini dengan penuh rasa rendah diri dan kesyukuran, serta menyedari amanah besar yang hadir bersamanya.

"Tempoh di luar parti telah memberi saya ruang untuk muhasabah dan memperbaiki kelemahan diri," kata beliau.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita