Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

"Saya ingatkan saya akan mati": Warga Indonesia ini kongsi pengalaman cuba masuk M'sia secara haram untuk cari kerja

Anggaran Waktu Membaca:
"Saya ingatkan saya akan mati": Warga Indonesia ini kongsi pengalaman cuba masuk M'sia secara haram untuk cari kerja

Gambar: Askar Tentera Nasional Indonesia

JAKARTA: Keadaan gelap-gelita ketika Andika Pramono, 28 tahun dan 33 warga Indonesia yang lain sabar menunggu di pantai Tanjung Tiram, Sumatera Utara pada awal pagi Isnin (7 Feb).

Mereka sedang menantikan arahan; khususnya arahan yang akan membawa mereka lebih dekat kepada impian mereka untuk bekerja dan meraih gaji lebih tinggi di Malaysia.

Selepas sejam menunggu, barulah mereka diberitahu bahawa bot yang akan membawa mereka masuk ke Malaysia secara haram sudah tiba.

"Kami disuruh cepat pergi ke bot yang berlabuh sekitar 200 meter dari pantai. Tetapi kami tidak tahu bahawa air itu berlumpur," dedah Pramono kepada Mediacorp.

Walaupun paras air laut cuma sedalam 1.3m tetapi lumpur menyukarkan mereka untuk berjalan dan mereka sebaliknya terpaksa berenang, kata Pramono.

Akhirnya, 30 daripada mereka berjaya sampai ke bot kayu itu, manakala empat yang lain memutuskan untuk terus berada di pantai kerana mereka tidak berani berenang dalam air berlumpur.

Tetapi itu bukan penamat pengalaman pahit mereka.

Bot berkenaan malangnya mengalami masalah teknikal. Sementara menunggu ia dibaiki, tiba-tiba muncul pula pasukan askar dan para pegawai polis yang menahan mereka.

Kesemua 34 pekerja hijrahan itu ditahan tetapi kapten bot tersebut berjaya melarikan diri.

Percubaan rakyat Indonesia untuk memasuki Malaysia secara haram bukanlah sesuatu yang baru, menurut pihak berkuasa.

Malah, terdapat kes warga Indonesia diseludup ke Malaysia hampir setiap hari, menurut Ketua Polis Indonesia, Jeneral Listyo Sigit Prabowo semasa mengadakan rundingan dengan rakan sejawatannya dari Malaysia, Ketua Polis Negara Malaysia Acryl Sani Abdullah Sani pada lewat Januari lalu ketika mereka membincangkan isu-isu pekerja hijrahan.

Jurucakap tentera laut Indonesia, Laksamana Pertama Julius Widjojono memberitahu Mediacorp bahawa sepanjang tiga bulan yang lalu, pihak berkuasa berjaya memintas sekurang-kurangnya empat percubaan pekerja hijrahan untuk memasuki Malaysia secara haram.

Pihak berkuasa Indonesia melancarkan satu serbuan di Batam dan tiga lagi di Sumatera, termasuk kes bot haram pada 7 Februari lalu.

Perjalanan sedemikian mudah terdedah kepada kemalangan di laut. Antara Disember tahun lalu dan Januari tahun ini, terdapat sekurang-kurangnya lima kemalangan bot yang mengakibatkan kematian berpuluh-puluh warga Indonesia, menurut ketua agensi pemerintah bagi perlindungan pekerja hijrahan BP2MI Benny Rhamdani.

MENGAPA RAMAI MASIH SANGGUP MELAKUKAN PERJALANAN TIDAK SELAMAT INI?

Ia biasanya bermula dengan keinginan untuk mendapatkan pekerjaan dan gaji yang lebih baik di Malaysia, menurut mereka yang ditemu bual.

Malangnya, perjalanan yang mengerikan mungkin akan menyusul kemudian.

Bagi kes Pramono, dia terpaksa meninggalkan impiannya untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah perkapalan disebabkan oleh kesempitan wang yang dialami keluarganya.

Sebelum COVID-19 melanda, dia adalah pemandu sebuah syarikat hiasan perkahwinan yang membawa pulang 1.5 juta rupiah (S$140.90) setiap bulan.

Gaji yang dibawa pulang itu jauh lebih rendah daripada paras gaji minimum sekitar 3 juta rupiah (S$281.60) bagi penduduk di Medan, Sumatera Utara.

Pramono hilang mata pencariannya akibat pandemik COVID-19 dan sepanjang dua tahun lalu, dia bekerja sebagai buruh kasar di sebuah syarikat binaan dan membawa pulang antara 80,000 rupiah (S$7.51) dengan 90,000 rupiah (S$8.44) setiap hari.

Dia tertarik untuk mencuba nasib di Malaysia selepas mendapat tahu sesetengah rakannya memperolehi gaji yang lebih lumayan di negara itu.

Seorang rakan kemudian merujuknya kepada seorang lelaki bernama Baasyir yang memberitahu Pramono bahawa dia sanggup membawanya memasuki Malaysia secara haram di mana dia boleh bekerja sebagai seorang pekerja pembersihan dengan gaji bulanan sekitar RM2,000 (S$643). 

Pramono mengupah Baasyir 4.5 juta rupiah (S$422.70) untuk menguruskan perjalanan tersebut.

Setelah melalui pelbagai cabaran dan dugaan untuk melakukan perjalanan tersebut, Pramono merasakan dirinya "tertipu" setelah niatnya itu tersekat separuh jalan apabila dia ditahan oleh pihak berkuasa.

"Saya berasa sangat kecewa .... sungguh mengecewakan dan menyedihkan. Saya kehilangan 4.5 juta rupiah (S$422.70), ia bukan jumlah yang kecil,” luah Pramono, yang turut mendedahkan bahawa dia juga meminjam wang daripada ibunya.

Selain Pramono, ada juga pekerja haram yang datang lebih jauh dari Sumatera.

Antaranya ialah Eliati, 51 tahun, yang terpaksa meninggalkan dua orang anaknya di Salatiga, Jawa Tengah untuk bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia.

Apabila suaminya meninggal dunia pada 2018, dia pergi ke Pahang melalui seorang ejen dan bekerja di sana sebagai seorang pengasuh dengan gaji sekitar RM1,500 (S$482.40) sebulan.

Selepas ibunya meninggal dunia pada 2020, dia pulang ke Salatiga. Malangnya, dia tidak dapat kembali bekerja di Pahang disebabkan of pandemik COVID-19.

Dia menghubungi ejen yang sama untuk membawanya masuk ke Malaysia tetapi diberitahu bahawa dia hanya boleh bekerja sebagai pembantu rumah jika dia berhasil memasuki Malaysia secara haram kelak.

Indonesian Navy

APA YANG BERLAKU SETERUSNYA?

Kesemua 34 warga Indonesia itu kini disoal siasat oleh pihak polis tempatan.

Leftenan Candra, komander Polis Tanjung Tiram di Sumatera Utara yang pasukannya menyelia kawasan perairan di mana kesemua 34 orang itu ditahan berkata mereka tidak mungkin akan didakwa.

"Mereka setakat mangsa. Kita perlu menangkap pelaku sebenar," tegas beliau.

Selepas disoal siasat, mereka akan diserahkan kepada BP2MI, yang akan menghantar mereka pulang ke kampung halaman masing-masing, dedah leftenan polis itu.

Beliau turut mendedahkan bahawa pasukan tentera melakukan rondaan setiap hari tetapi ia semakin sukar untuk menangkap mereka yang cuba memasuki Malaysia secara haram.

"Dengan pantai kita yang panjang, kawasan rondaan kita berbeza dari hari ke hari," jelas beliau.

Duta Besar Indonesia yang berpangkalan di Kuala Lumpur, Hermono memberitahu Mediacorp bahawa penyeludupan pekerja haram ini hanya boleh dileburkan dengan memperkukuhkan pencegahan dan pendakwaan terhadap para pelaku.

Pemerintah Indonesia kini sedang berusaha untuk memuktamadkan Memorandum Persefahaman (MOU) bagi mencegah penghijrahan haram dan melindungi hak pekerja, dedah Anwar Sanusi, setiausaha agung kementerian tenaga manusia kepada Mediacorp.

Tetapi apa saja peraturan dan undang-undang yang akan dimeterai dan dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa kelak, hanya satu perkara yang penting bagi pekerja bergaji rendah seperti Pramono di Medan:

“Saya hanya mahu pekerjaan yang baik. Pekerjaan yang bergaji lebih tinggi.”

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan