"Saya bukan pencuri, perompak, penyamun," kata Najib
Mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak baru-baru ini menegaskan bahawa beliau bukanlah seorang pencuri, perompak atau penyamun.
Mantan Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak. (Gambar fail: Reuters)
SHAH ALAM: Mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak baru-baru ini menegaskan bahawa beliau bukanlah seorang pencuri, perompak atau penyamun.
Menurut laporan Sinar Harian, Encik Najib berkata demikian melalui rakaman video secara langsung atau 'Facebook Live' semasa menerangkan berhubung isu berkenaan dakwaan dan tanggapan mengenai dana RM2.6 bilion (S$854.9 juta) ke atas dirinya.
Beliau berharap perkara sebenar akan terbongkar dan segala tuduhan serta salah tanggapan ke atas dirinya akan lenyap apabila tiba masanya.
Sinar Harian menukil beliau sebagai berkata: "Tidak ada sesiapa yang tidak akan tersinggung apabila dilempar dengan pelbagai tohmahan seperti itu.
"Saya telah berkhidmat sekian lama dalam kerajaan untuk rakyat dan telah melakukan yang terbaik serta telah memberi khidmat bakti yang bersungguh-sungguh."
Encik Najib juga berkata, bukan senang untuk beliau menjelaskan tentang isu dana RM2.6 bilion (S$854.9 juta) itu kerana ia sudah menjadi kes mahkamah.
"Saya berdoa agar kebenaran akan timbul dan Insya-ALLAH saya dapat membersihkan nama saya.
"Namun, saya yakin dan percaya bahawa pihak saya mempunyai bukti," katanya, seperti yang dipetik oleh Sinar Harian.
Dalam siaran Facebook Live selama hampir 12 minit itu, Encik Najib berkata beliau mengaku isu RM2.6 bilion (S$854.9 juta) menjadi salah satu perkara yang menyumbang kepada punca Barisan Nasional tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 Malaysia.
"Tular kononnya saya menipu tentang dana itu dan sejujurnya saya tidak pernah berbohong tentang hal itu," tambahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.