Skip to main content

Dunia

Saya akan 'letak jawatan' jika diberi pilihan: Carrie Lam

Pemimpin Hong Kong Carrie Lam berkata beliau ialah punca ‘pergolakan yang tidak dapat dimaafkan’ selepas mencetuskan krisis politik di bandar itu dan berkata akan meletak jawatan sekiranya diberi pilihan.

Anggaran Waktu Membaca:
Saya akan 'letak jawatan' jika diberi pilihan: Carrie Lam

Cik Carrie Lam. (Gambar: REUTERS/Ann Wang)

Diterbitkan : 03 Sep 2019 11:20AM Dikemas Kini : 03 Sep 2019 11:25AM

HONG KONG: Pemimpin Hong Kong Carrie Lam berkata beliau ialah punca ‘pergolakan yang tidak dapat dimaafkan’ selepas mencetuskan krisis politik di bandar itu dan berkata akan meletak jawatan sekiranya diberi pilihan.

Dalam satu mesyuarat tertutup bersama sekumpulan ahli perniagaan minggu lalu, Cik Lam berkata beliau diberikan pilihan yang "sangat terhad" untuk menyelesaikan krisis itu.

Ini kerana ia semakin serius sekali gus menjadi isu keselamatan nasional dan kedaulatan bagi China di tengah-tengah hubungan tegangnya dengan Amerika Syarikat (AS).

“Jika saya diberi pilihan, perkara pertama yang akan saya lakukan adalah meletak jawatan,” kata Cik Lam.

Kenyataan dramatik Cik Lam itu memberikan gambaran paling jelas sejauh ini mengenai cara pemikiran pemimpin China dalam mengendalikan pergolakan di Hong Kong, krisis politik terbesar selepas bantahan di Dataran Tiananmen pada 1989.

Pada Jun lalu, pentadbiran Cik Lam mengusulkan undang-undang membenarkan mereka yang dipercayai melakukan jenayah diekstradisi dan menghadapi perbicaraan di mahkamah China. Bantahan-bantahan yang diadakan sebagai tindak balas, kadang kala bertukar ganas.

Undang-undang tersebut telah digantung namun Cik Lam masih gagal mengakhiri pergolakan itu.

“Untuk seorang Ketua Eksekutif yang menyebabkan huru hara sebesar ini di Hong Kong, adalah sesuatu yang tidak dapat dimaafkan,” katanya.

Cik Lam berkata, pemimpin di Beijing sedar akan kesan buruk terhadap reputasi China sekiranya mereka mengerahkan angkatan tentera ke Hong Kong untuk mententeramkan keadaan.

Namun menurutnya, China "sanggup melakukan apa saja" bagi menamatkan pergolakan, walaupun ia bermakna Hong Kong akan terjejas dari segi ekonomi, termasuk kemerosotan jumlah pelancong dan kehilangan para pelabur.

Sumber : Reuters/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita