Save the Children tangguh operasi di Afghanistan selepas serangan ISIS
Kumpulan bantuan kemanusiaan Save the Children menangguhkan operasinya di Afghanistan semalam (24 Jan) selepas para anggota militan ISIS mengganas di salah satu pejabatnya dalam serangan yang berlangsung selama beberapa jam.
Seorang anggota pasukan keselamatan Afghanistan di tempat kejadian. (Gambar: Noorullah Shirzada/AFP)
JALALABAD: Kumpulan bantuan kemanusiaan Save the Children menangguhkan operasinya di Afghanistan semalam (24 Jan) selepas para anggota militan ISIS mengganas di salah satu pejabatnya dalam serangan yang berlangsung selama beberapa jam. Ini merupakan serangan terbaru terhadap sebuah pertubuhan amal dari luar negara.
Para anggota militan tersebut melepaskan tembakan di pekarangan pejabat pertubuhan Britain yang terletak di bandar timur Jalalabad. Tiga kakitangan maut dan empat lagi cedera. Demikian menurut Save the Children dalam kenyataan medianya.
Seorang pegawai Afghanistan sebelum ini mengesahkan jumlah mereka yang terkorban dan 27 orang yang dilaporkan cedera.
"Kami sudah menangguhkan operasi kami di negeri ini selepas serangan tersebut. Bagaimanapun, kami tetap komited untuk membantu kanak-kanak yang dalam kesusahan di Afghanistan," kata ketua eksekutif antarabangsa Save the Children Helle Thorning-Schmidt.
Selepas meletupkan bom kereta di luar pekarangan pertubuhan amal itu, para penyerang melancarkan serangan bom tangan menggunakan roket ke atas bangunan tersebut. ISIS mengaku melakukan serangan itu melalui cabang propagandanya Amaq.
Sekitar 50 orang termasuk wanita-wanita diselamatkan di tingkat bawah tanah bangunan berkenaan di mana mereka bersembunyi daripada para penyerang ISIS, kata Attaullah Khogyani, seorang jurucakap gabenor wilayah Nangarhar.
Menurut laporan tempatan, asap hitam tebal kelihatan di kawasan bangunan tersebut dan sekurang-kurangnya satu kenderaan terbakar di luar pejabat.
Kebelakangan ini, kumpulan militan ISIS sering melancarkan serangan di kawasan bandar, terutama sekali di masjid-masjid. Pasukan keselamatan Afghanistan kini mempertingkatkan operasi keselamatannya di kawasan timur.
Sebelum ini, kumpulan militan jarang mengaku melakukan serangan ke atas para kakitangan pertubuhan amal.
Beberapa hari sebelum ini, kumpulan Taliban menyerang sebuah hotel mewah di ibu kota negara itu dan membunuh sekurang-kurangnya 22 orang. Sebahagian besar mangsa serangan merupakan warga asing.
Kumpulan bersenjata itu menggeledah dari bilik ke bilik untuk mencari warga asing di Hotel Intercontinental dalam serangan yang berlangsung selama lebih 12 jam.
Amerika Syarikat dan pasukan keselamatan Afghanistan menjalankan operasi di darat dan udara terhadap kumpulan militan ISIS di wilayah itu.
Meskipun pasukan keselamatan Afghanistan yang melakukan sebahagian besar operasi terhadap kumpulan ISIS dan Taliban, pasukan Amerika Syarikat turut menjalankan operasi bersama mereka dan sering berada di barisan hadapan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.