Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Saudi umum pelan operasi musim Haji 2022

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Pejabat Penjaga Ehwal Dua Masjid Suci Islam di Arab Saudi mengumumkan pelancaran Pelan Operasi berskala besar bagi musim haji 1443H, yang memberi tumpuan kepada 10 langkah utama di bawah matlamat strategik Wawasan 2030 Arab Saudi.

Ketua Pengarahnya Sheikh Dr Abdul Rahman Al-Sudais menyifatkan pelan itu sebagai yang terbesar pernah dirancang dalam menawarkan perkhidmatan bermutu dan mampan untuk jemaah haji selepas dua tahun dihentikan akibat penularan COVID-19 di seluruh dunia.

“Penyediaan pelan itu sudah dimulakan sejak musim haji tahun lalu, melibatkan pelbagai pihak dan sektor perkhidmatan haji," katanya dalam taklimat media pada Ahad (19 Jun) yang disiarkan secara langsung dari Makkah menerusi portal jabatan berkenaan.

Jabatan itu sudahpun mengerahkan 10,000 petugas lelaki dan wanita untuk menyantuni sejuta jemaah haji yang dibenarkan pada musim kali ini. 

Tambahnya, jabatan itu juga sudahpun melancarkan perkhidmatan digital menerusi beberapa aplikasi bijak dan platform elektronik yang terbukti memberi manfaat kepada lebih 160 juta pengguna, antaranya penyediaan terjemahan 10 bahasa teks khutbah dan pengajian di Masjidil Haram.

“Jabatan ke arah transformasi pendigitalan dalam semua perkhidmatannya, termasuk pengenalan sistem navigasi, robot (AI) dan al-Quran elektronik Braille bagi memudahkan jemaah haji," katanya.

Jelasnya lagi, pada tahun ini Pintu Raja Abdulaziz, Pintu Raja Fahd dan Pintu Bab Al Salam yang sudah menjalani kerja naik taraf akan dibuka sebagai laluan masuk jemaah haji dan pengunjung, sebagai tambahan kepada 144 pintu lain yang terdapat di Masjidil Haram.

Mengenai air Zamzam, katanya, jabatan itu akan memastikan sebanyak 4 juta botol air Zamzam sehari diagihkan dengan 3 juta di Masjidil Haram dan bakinya di Masyair.

Beliau menjelaskan proses membasmi kuman dilakukan di setiap sudut Masjidil Haram dan kemudahan-kemudahannya sebanyak sepuluh kali sehari bagi mengekalkan persekitaran yang bersih.

Pada masa yang sama, kemudahan bagi jemaah haji warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) sudah diperkemas dan dipertingkat dengan penyediaan 500 petugas teknikal dan 2,000 kerusi roda elektrik, yang boleh ditempah melalui aplikasi “Tanaqol”, bagi kelancaran pergerakan di Mataf (laluan Tawaf).

Kerajaan Arab Saudi pada April lalu mengumumkan bahawa ia membenarkan sejuta jemaah haji berumur bawah 65 tahun dari dalam dan luar negara untuk melakukan ibadah itu pada tahun ini, tertakluk kepada syarat tertentu termasuk melengkapkan vaksinasi COVID-19.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan