Skip to main content

Dunia

Saudi tolak laksana perintah berkurung lebih ketat meski Omicron terus merebak

Anggaran Waktu Membaca:
Saudi tolak laksana perintah berkurung lebih ketat meski Omicron terus merebak

Jurucakap rasmi Kementerian Kesihatan Arab Saudi, Dr Muhammad Al-Abdel Ali, semasa wawancara bagi rancangan "YaHalaShow". (Gambar: Saudi Gazette)

Diterbitkan : 04 Jan 2022 09:40AM

RIYADH: Kementerian Kesihatan Arab Saudi menolak langkah-langkah kawalan lebih ketat sedang varian Omicron terus menular, tegas jurucakap rasmi kementerian itu, Dr. Muhammad Al-Abdel Ali. 

Beliau mengesahkan demikian dalam wawancaranya bagi rancangan "YaHalaShow" yang disiarkan melalui saluran Rotana Khalijiya pada Isnin (3 Jan), di mana beliau mendedahkan bahawa gejala-gejala pandemik di Arab Saudi pada masa ini tidak sama seperti yang disaksikan pada awal penularan wabak COVID-19 pada 2020. Beliau turut menarik perhatian bahawa Arab Saudi sudah melakukan yang terbaik untuk membendung penularan COVID-19 dan tahap kesedaran orang ramai terhadap virus tersebut juga tinggi. Begitu juga dengan daya imun penduduk Saudi yang tinggi setelah kerajaan memperhebatkan program vaksinasi negara.

Jurucakap kementerian kesihatan juga mengatakan bahawa pandemik tersebut sudah melalui beberapa fasa di merata dunia dan Arab Saudi adalah sebahagian daripada dunia ini. Beliau juga menambah bahawa varian Omicron sudah dikesan di setiap negara termasuk Saudi dan sudah merebak ke seluruh dunia. 

Maklumat yang dikumpulkan menunjukkan bahawa Omicron menular dengan pantas sekali, dan ini menerangkan lonjakan pada jumlah kes jangkitan di Saudi, katanya lagi. 

Mengaitkan sebab-sebab lain yang mencetuskan lonjakan pada jumlah pesakit koronavirus di Saudi, Dr Muhammad turut mendedahkan bahawa kebanyakan kes jangkitan yang dipantau adalah dari kalangan penduduk yang belum menerima suntikan vaksin, dan juga mereka yang belum lengkap divaksin. 

Penularan Omicron akan mereda tidak lama lagi, terutama sekali selepas langkah-langkah pencegahan dikuatkuasakan semula, menurut jurucakap itu, sambil menambah bahawa dapatan kajian sudah membuktikan bahawa dos ketiga vaksin berhasil melindungi seseorang itu daripada dijangkiti virus berkenaan, di samping membendung penularan lanjut. 

Kajian juga membuktikan bahawa gejala-gejala jangkitan adalah ringan bagi mereka yang dijangkiti virus COVID-19 jika sudah lengkap divaksin.

"Jumlah kes yang tidak sakit teruk, sekalipun bukan sesuatu yang diinginkan, bukan menjadi keprihatinan kami buat masa ini," tegas beliau, sambil menambah bahawa "Yang paling membimbangkan dan mencetuskan keprihatinan adalah pesakit-pesakit yang mengalami gejala-gejala serius sehingga perlu dirawat di ICU dan juga kadar kematian". 

Sepanjang wawancara tersebut, Dr Muhammad juga mendedahkan bahawa pil untuk merawat COVID-19 masih dikaji dan vaksin tidak dijangka akan dihentikan walaupun dengan terhasilnya pil-pil tersebut, dan menekankan peranan jawatankuasa dan pakar di Saudi untuk memantau perkembangan kesihatan di sana. 

Sekitar 95 peratus penduduk Saudi daripada kumpulan-kumpulan usia yang disasarkan sudahpun lengkap divaksin, manakala 70 hingga 75 peratus daripada seluruh penduduk Saudi sudah divaksin sepenuhnya. 

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita