Saudi tawar lebih banyak minyak mentah melalui Oman selepas serangan saluran paip: Sumber
Arab Saudi menawarkan lebih banyak kiriman minyak mentah kepada syarikat penapisan Asia menerusi pemindahan dari kapal ke kapal di luar Pelabuhan Sohar, Oman, selepas serangan dron merosakkan saluran paip minyak utamanya ke Laut Merah, menurut sumber yang mengetahui perkara itu
Ibu pejabat Saudi Aramco di Daerah Kewangan Raja Abdullah, Riyadh, pada 3 Mac 2026. (Gambar fail: AFP/Fayez Nureldine)
- Arab Saudi menawarkan lebih banyak minyak mentah kepada pembeli Asia melalui pemindahan kapal ke kapal di luar Pelabuhan Sohar selepas serangan dron merosakkan saluran paip Timur-Barat.
- Saudi Aramco menawarkan Arab Light, Arab Medium dan Arab Heavy, sambil meningkatkan muatan di Ras Tanura dan Juaymah kepada sekitar empat juta tong sehari.
- Data Energy Aspects dan Kpler menunjukkan aktiviti pemuatan VLCC meningkat, termasuk empat kapal di Ras Tanura pada Rabu, ketika pengeluar Teluk lain menambah kiriman.
- Gangguan di Yanbu menyebabkan beberapa kargo Asia ditangguhkan atau dijadualkan semula, manakala pelanggan Eropah dimaklumkan sebahagian kargo September akan dibatalkan.
Syarikat minyak negara Saudi Aramco menawarkan minyak mentah utama Arab Light, selain Arab Medium dan Arab Heavy, kepada pembeli kontrak di Asia untuk dimuatkan di luar Sohar, yang terletak di luar Selat Hormuz, kata sumber tersebut.
Tawaran itu menunjukkan Aramco sedang meningkatkan kiriman minyak mentah keluar dari Teluk untuk dipindahkan ke kapal lain di luar laluan Selat Hormuz.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Aramco membuat sekurang-kurangnya dua tawaran serupa bagi minyak mentah Arab Medium dan Arab Heavy kepada para pembeli Asia.
Saudi Aramco enggan membuat ulasan mengenainya.
Sepanjang minggu lalu, Arab Saudi menggandakan muatan minyak mentah harian di terminal Ras Tanura dan Juaymah di Teluk kepada sekitar empat juta tong, bersamaan muatan dua kapal tangki minyak mentah sangat besar (VLCC), menurut data satelit firma perunding Energy Aspects.
Data berasingan daripada firma penjejakan kapal Kpler menunjukkan empat VLCC, yang mampu membawa sejumlah lapan juta tong, sedang memuatkan minyak mentah di Ras Tanura pada Rabu (16 Sep).
Aramco meningkatkan muatan dan bekalan minyak mentah ketika pengeluar lain di Teluk turut menambah kiriman dari luar Selat Hormuz, selepas mendapatkan kapal untuk membawa bekalan merentasi laluan itu, kebanyakannya dengan isyarat penjejakan dimatikan.
Para pembeli enggan dinamakan kerana tidak diberi kebenaran untuk bercakap kepada media.
Arab Saudi, pengeksport minyak terbesar dunia, bergantung pada saluran paip Timur-Barat untuk mengalihkan minyak mentah ke Pelabuhan Yanbu di Laut Merah bagi tujuan eksport sejak perang Iran menjejas teruk perkapalan melalui Selat Hormuz.
Arab Saudi menutup saluran paip itu pada Jumaat selepas ia rosak akibat serangan dron, menyebabkan penanda aras harga minyak global melonjak ke paras tertinggi dalam beberapa bulan minggu ini.
Sekurang-kurangnya seorang pembeli Asia yang dijadual menerima kargo bulan ini berkata pihaknya menerima notis daripada Aramco bahawa kiriman dari Yanbu akan ditangguhkan dan dijadualkan semula.
Notis itu tidak menyatakan tempoh kelewatan tersebut.
Arab Saudi turut memaklumkan kepada para pelanggan Eropah bahawa beberapa kargo minyak mentah yang dijadual dimuatkan pada September akan dibatalkan, manakala operasi kiriman di Yanbu digantung, menurut sumber perdagangan dan perkapalan pada Selasa (15 Sep).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.