Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Saudi sahkan rundingan pertama dengan pemerintah baru Iran

Arab Saudi mengesahkan pada Ahad (3 Okt) bahawa ia sudah mengadakan rundingan langsung yang pertama dengan pemerintah baru Iran bulan lalu, yang merupakan sebahagian daripada proses yang dimulakan awal tahun ini untuk mengurangkan ketegangan antara kedua-dua negara.

Anggaran Waktu Membaca:
Saudi sahkan rundingan pertama dengan pemerintah baru Iran

Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan Al-Saud. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 04 Oct 2021 08:52AM Dikemas Kini : 04 Oct 2021 08:56AM

RIYHADH: Arab Saudi mengesahkan pada Ahad (3 Okt) bahawa ia sudah mengadakan rundingan langsung yang pertama dengan pemerintah baru Iran bulan lalu, yang merupakan sebahagian daripada proses yang dimulakan awal tahun ini untuk mengurangkan ketegangan antara kedua-dua negara.

Musuh lama yang memutuskan hubungan pada 2016 itu memulakan rundingan pada April, ketika Washington dan Tehran sedang berbincang untuk menghidupkan kembali perjanjian nuklear yang sebelum itu ditentang oleh Riyadh dan sekutunya.

Tiga pusingan rundingan Arab Saudi-Iran diadakan di Iraq dalam bulan-bulan sebelum presiden baru Iran, Ebrahim Raisi, mengambil alih jawatan pada Ogos.

Menteri Luar Putera Faisal bin Farhan al-Saud berkata pusingan terkini itu berlangsung pada 21 September. Beliau tidak memberikan lokasi pertemuan itu. Tarikh tersebut bertepatan dengan ucapan Encik Raisi di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.

"Perbincangan ini masih dalam tahap eksplorasi. Kami berharap ia akan memberi asas untuk mengatasi masalah yang belum diselesaikan antara kedua-dua pihak dan kami akan cuba dan berusaha untuk merealisasikannya," katanya semasa satu sidang akhbar bersama.

Arab Saudi dan Iran selama bertahun-tahun menyokong pihak-pihak yang bertentangan dalam konflik wilayah dan pertikaian politik di Syria, Lubnan dan Iraq.Arab Saudi juga memimpin sebuah perikatan Arab yang berperang melawan gerakan Houthi yang menyebelahi Iran di Yaman sejak 2015.

Riyadh dan Tehran masing-masing pernah menyatakan pihaknya berharap rundingan itu dapat meredakan ketegangan, sambil menolak kemungkinan sebarang pencapaian besar diplomatik. Iran tidak segera mengulas tentang rundingan terbaru pada 21 September. Riyadh menyatakan ia akan menilai pemerintah Encik Raisi berdasarkan realiti di lapangan.

Putera Faisal bercakap semasa lawatan ke Riyadh oleh ketua dasar luar EU, Josep Borrell, yang berkata beliau sudah memberi taklimat kepada rakan-rakan kerjasama tentang prospek menyambung semula rundingan nuklear.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan