Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Saudi permudahkan prosedur dapatkan visa Umrah online bagi jemaah asing

Anggaran Waktu Membaca:
Saudi permudahkan prosedur dapatkan visa Umrah online bagi jemaah asing

(Gambar hiasan: Abdel Ghani Bashir/AFP)

Diterbitkan : 22 Sep 2022 05:22PM Dikemas Kini : 22 Sep 2022 05:23PM

RIYADH: Arab Saudi kini memudahkan lagi urusan warga asing untuk memilih pakej Umrah menerusi platform elektronik Maqam serta menyelesaikan prosedur bagi pengeluaran visa dalam tempoh yang singkat. 

Jemaah boleh membuat permohonan dengan cepat dan diberikan visa Umrah dari mana sahaja mereka berada, lapor Saudi Gazette. 

Jemaah Umrah boleh merancang jadual mereka sendiri secara elektronik menerusi Ejen Pelancongan Online (OTA) dan platform yang diluluskan. Kesahihan visa adalah selama 90 hari dan jemaah bebas untuk melancong ke mana-mana saja di seluruh negara berkenaan. 

Jemaah asing boleh menempah khidmat Umrah menerusi platform Maqam, mendapatkan visa dan menempah khidmat secara elektronik dari seluruh dunia menerusi platform pilihan dalam tempoh kurang 24 jam, dengan melayari laman web utama pada senarai platform elektronik yang diluluskan. 

Platform Maqam berfungsi sebagai Sistem Pengedaran Sejagat (GDS), menghubungkan khidmat, harga dan tempahan serta menawarkan produk-produk dan khidmat pelbagai industri seperti hotel, syarikat penerbangan dan khidmat sewa kereta. 

Dalam proses itu, portal Maqam boleh sekali gus menawarkan dan memasarkan khidmat ejen pelancongan dan OTA kepada mereka yang berminat untuk menunaikan Umrah. 

Bagi mendapatkan visa, jemaah harus melayari portal Maqam dan memilih agensi pelancongan pilihan mereka. Mereka kemudian perlu berdaftar di laman web agensi pelancongan pilihan mereka dan mengisikan butiran mengenai lawatan mereka, seperti tarikh berlepas dan lapangan terbang, berapa malam di Makkah dan Madinah serta memilih tempat persinggahan pertama mereka, sama ada Makkah atau Madinah. 

Bagi tempahan untuk hotel dan penerbangan, para jemaah boleh memilih hotel pilihannya di Makkah dan Madinah, pakej pengangkutan, tiket penerbangan serta mengisikan maklumat peribadi. Jemaah juga perlu mempunyai gambar bersaiz pasport dan pasport yang sah selama enam bulan, menurut Saudi Gazette. 

Jemaah perlu memilih kaedah pembayaran dengan memilih untuk membuat bayaran bagi visa Umrah, tiket penerbangan dan hotel menerusi kad debit atau kredit, lalu menghantarkan aplikasi tersebut. 

Setelah selesai aplikasi itu, jemaah boleh melayari laman web Kementerian Ehwal Luar untuk mengisi data dan mendapatkan visa Umrah mereka. 

Khidmat platform Maqam termasuk membolehkan para jemaah mengetahui lebih lanjut tentang ejen-ejen tempatan di negara asal jemaah untuk mengeluarkan visa Umrah. Visa Umrah itu bukan saja sah bagi 90 hari setelah ia dikeluarkan, ia juga memberi para jemaah kebebasan untuk melawat bandar-bandar Saudi untuk mempelajari tentang kepelbagaian budaya di negara tersebut. 

Di portal tersebut, para jemaah juga boleh membuat pilihan bagi kaedah perjalanan antara Makkah, Jeddah dan Madinah, menempah tiket penerbangan dan juga khidmat pengangkutan di dalam Saudi. 

Selain itu, mereka juga boleh menempah tempat penginapan mereka dan mengirimkan permohonan visa mereka kepada Kementerian Ehwal Luar. 

Setelah menyelesaikan tempahan khidmat menerusi ejen yang diluluskan, para jemaah akan menerima nombor rujukan untuk proses pembayaran online dan menerusi kad kredit, bagi visa dikeluarkan menerusi platform visa nasional bersepadu dalam tempoh 24 jam.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan