Saudi perketat kawalan kekang kemasukan jemaah tanpa visa Haji
Tinggal kurang dua minggu sebelum kemuncak ibadah haji di Arafah, pihak berkuasa Arab Saudi kini sedang giat bertindak menghalang individu tanpa permit Haji daripada memasuki atau menginap di Makkah serta tapak-tapak suci lain.
Para pelawat tanpa permit Haji yang sah boleh ditangkap atau didenda sehingga 20,000 Riyal (S$6,900).
Dua hari lalu, pihak berkuasa Makkah telah menahan dua warga Indonesia atas kesalahan melindungi 23 pelawat yang memegang pelbagai jenis visa lawatan di sebuah bangunan di Makkah.
Ekoran langkah-langkah yang diperketatkan itu juga, ramai jemaah terpaksa beratur panjang untuk ke Masjidil Haram.
"Tak dapat terbayangkan selama kita lihat di TV dan di YouTube, tak tahu bagaimana di Makkah. Tapi akhirnya kita sampai di sini," kata Cik Fitrina, seorang jemaah Haji dari Indonesia.
Begitulah antara luahan jemaah haji kali pertama yang menjejakkan kaki ke Makkah.
Biarpun terpaksa beratur panjang untuk masuk ke dalam masjid paling suci dalam Islam, suasana di sekitarnya dan di dalam masjid agak lengang sejak pihak berkuasa Saudi mengetatkan kawalan dengan membenarkan hanya para pemegang visa haji untuk ke sana.
Bukan sahaja mereka yang mahu ke Masjidil Haram diperiksa, malah semua penginapan dan rumah di kota Makkah turut diperiksa pihak berkuasa demi memastikan tiada sebarang percubaan untuk menjalankan ibadah haji tanpa permit yang sah tahun ini.
"Yang berada dalam kota suci Makkah sendiri termasuk orang tua kami, abah dan mama saya yang sudah sekitar 35 tahun di Arab Saudi dikeluarkan dari Makkah meskipun surat izin tinggal tertulis kota Makkah," kata Ustaz Muhammad Sofi Aw, yang juga merupakan seorang penduduk Makkah.
Selain membuat para penduduk Makkah lebih berhati-hati semasa musim haji, Mediacorp difahamkan ia juga mendorong ramai untuk keluar dari kota Makkah dan tinggal buat sementara waktu di Jeddah atau bandar-bandar lain di Saudi.
Malah ada mutawif yang dilaporkan tidak berani untuk bersama para jemaah haji ketika berada di Masjidil Haram.
Ini kerana mereka khuatir akan dikenakan tindakan oleh pasukan keselamatan Saudi, semasa musim haji ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.