Saudi perhebat usaha pikat pelancong antarabangsa
Pihak berkuasa Arab Saudi mengumumkan beberapa peraduan baru bagi menyemarakkan lagi landskap negara itu yang kini lebih terbuka kepada dunia luar dan mengalu-alukan kedatangan lebih ramai pelancong dari merata dunia.
RIYADH: Pihak berkuasa Arab Saudi mengumumkan beberapa peraduan baru bagi menyemarakkan lagi landskap negara itu yang kini lebih terbuka kepada dunia luar dan mengalu-alukan kedatangan lebih ramai pelancong dari merata dunia. Ia sejajar dengan dasar baru kerajaan Saudi mengurangkan penggantungan kepada minyak dan mencapai visi 2030.
Peraduan pertama yang akan dianjurkan kerajaan Saudi tahun ini adalah pertandingan musabaqah antarabangsa, pada mungkin semasa bulan Ramadan kelak. Pertandingan membaca Al Quran itu menjanjikan hadiah 5 juta Riyal Saudi (S$1.85 juta).
Juga bakal dianjurkan buat julung-julung kalinya adalah peraduan melaungkan azan. Selain hadiah 2 juta Riyal (S$740,000), pemenangnya juga berpeluang melaungkan azan di Masjid Nabawi di Madinah.
Pengerusi Penguasa Hiburan Arab Saudi, Turki Al-Sheikh turut mengumumkan peraduan menjejaki perjalanan Hijrah Nabi Muhammad. Para peserta dari merata dunia perlu berjalan kaki dari Makkah ke Madinah bagi merebut hadiah 1 juta Riyal (S$370,000).
Bagi memikat para pelancong antarabangsa bukan Islam, pihak berkuasa Saudi merancang mengadakan beberapa konsert seperti persembahan Black Eyed Peas pada bulan lalu.
Arab Saudi menjangkakan pelaburan AS$64 bilion (S$87 bilion) dalam sektor hiburan negara itu, termasuk pembukaan panggung wayang dan muzium Madame Tussaud di Riyadh dan Jeddah, tahun ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.