Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Saudi lancar aplikasi Nusuk bagi mudahkan perjalanan jemaah umrah

Anggaran Waktu Membaca:
DUBAI: Dalam tiga bulan pertama sejak 1 Muharram lalu, lebih 30 juta orang dari dalam dan luar Arab Saudi sudah melawat Masjidil Haram di bandar Makkah.

Menurut laporan Al-Arabiya.net, lagi 40 juta jemaah turut ke Masjid Nabawi di Madinah, dalam tempoh yang sama.

Dengan jumlah jemaah yang semakin bertambah, pihak berkuasa Arab Saudi memperkenalkan pelbagai perubahan untuk melancarkan lagi kunjungan orang ramai dari merata dunia.

Untuk memudahkan para jemaah tempatan dan luar negara mengerjakan umrah, pihak berkuasa Saudi mula memperkenalkan aplikasi bijak yang baru iaitu Nusuk.

Bertujuan menggantikan aplikasi bijak Eatamarna sebelum ini, aplikasi Nusuk lebih menyeluruh dan menawarkan pelbagai perkhidmatan untuk para jemaah dari sebelum tiba di Saudi hingga ke semua keperluan ketika berada di negara itu.

"Perbezaannya sekarang antara Eatamarna dengan Nusuk bagi para jemaah dari luar dari Indonesia, Malaysia, Singapura, Brunei itu sekarang boleh ambil tasreh atau permit sebelum masuk ke Saudi.

"Jemaah saya berangkat dari Malaysia yang transit di Brunei, di Brunei itulah semuanya ambil permit, langsung masuk ke Saudi, masuk ke Madinah langsung dapat permit ke Raudhah. Jadi sekarang lebih mudahlah untuk jemaah dari luar Saudi," kata Mutawif dan Penduduk Makkah, Ustaz Ali Amin.

Menerusi aplikasi Nusuk juga orang ramai boleh menempah bilik hotel atau pengangkutan di Saudi.

Bagi mengelakkan kesesakan semasa menjalankan ibadah sai pula, pihak berkuasa Saudi telah membuka hadangan di bukit Safa.

Ini turut menawarkan pengalaman berada betul-betul di atas bukit di mana Siti Hajar berulang alik ketika mencari air untuk anaknya Nabi Ismail dulu.

Juga di kawasan sai, proses mengambil air zam-zam kini dipermudahkan dengan adanya paip-paip yang dilengkapi alat deria yang mengeluarkan air secara automatik, tanpa perlu memutar atau memicit butang kepala paip air seperti sebelumnya.

Perubahan-perubahan tersebut baru saja dilaksanakan bulan lalu.
Sumber : Agensi berita/AA/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan