Skip to main content

Dunia

Saudi kendalikan ujian dron pertama hantar ubat, bekalan perubatan ke hospital di Tanah Suci

Anggaran Waktu Membaca:
Saudi kendalikan ujian dron pertama hantar ubat, bekalan perubatan ke hospital di Tanah Suci

(Gambar: AFP/FADEL SENNA)

Diterbitkan : 07 Jun 2025 09:46AM Dikemas Kini : 07 Jun 2025 09:55AM
MINA: Arab Saudi buat kali pertama menggunakan dron bagi menghantar ubat-ubatan dan bekalan perubatan ke hospital serta pusat kesihatan di tanah suci, sebagai sebahagian daripada projek perintis sempena musim Haji tahun ini.

Operasi yang dikendalikan oleh Kelompok Kesihatan Makkah bersama National Unified Procurement Company (NUPCO) menjadi langkah penting untuk mempercepatkan dan meningkatkan kecekapan logistik penjagaan kesihatan para jemaah, lapor Agensi Berita Saudi (SPA).

Antara penghantaran utama ialah pek ais ke Hospital Kecemasan Mina bagi merawat keletihan dan strok haba.

Inisiatif itu merangkumi beberapa fasa, termasuk penyediaan barangan, pembungkusan mengikut piawaian Pihak Berkuasa Makanan dan Ubat-ubatan Saudi (SFDA) dan pemantauan masa nyata menerusi papan pemuka pusat bagi memastikan penghantaran yang tepat dan selamat.

Sistem itu bertujuan mengurangkan masa respons dan menyokong operasi perubatan kecemasan, terutamanya semasa kesesakan di tanah suci.

Penggunaan dron adalah sebahagian daripada usaha memodenkan perkhidmatan kesihatan di bawah Wawasan Saudi 2030, menzahirkan komitmen kerajaan untuk menyediakan rawatan yang selamat dan cekap kepada para jemaah sepanjang musim Haji.
Sumber : Bernama/HA/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita