Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Saudi hadiahkan lebih 50,000 naskhah al-Quran kepada Thailand

Anggaran Waktu Membaca:

BANGKOK: Arab Saudi menghadiahkan 50,060 naskhah al-Quran dalam pelbagai saiz dan terjemahan kepada Thailand sebagai satu tanda muhibah.

Ia juga sebahagian daripada usaha negara berkenaan untuk menyampaikan sumbangan Raja Saudi Salman Abdulaziz Al Saud kepada umat Islam di seluruh dunia sebelum ketibaan bulan suci Ramadan.

Jurucakap kerajaan Thanakorn Wangboonkongchana berkata Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha gembira dengan sikap murah hati raja Saudi itu.

“Al-Quran akan diedarkan sebelum permulaan Ramadan pada 1 April,” lapor Thai PBS memetik Perdana Menteri hari ini (1 Mac).

Thanakorn berkata serahan itu disampaikan dalam satu majlis di Kedutaan Arab Saudi di Bangkok pada Sabtu (26 Feb) dengan dihadiri wakil daripada kementerian, masyarakat Islam, ulama dan pendakwah.

Thailand dan Arab Saudi menyambung semula hubungan diplomatik penuh pada Januari tahun ini selepas terputus sejak tiga dekad lalu.

Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan, yang diwakili oleh Kompleks Percetakan Al-Quran Raja Fahd menyerahkan 50,060 naskhah al-Quran kepada Thailand, lapor Saudi Press Agency.

Menteri Hal Ehwal Islam dan Penyelia Am Kompleks Percetakan Al-Quran Raja Fahd di Madinah, Sheikh Abdullatif bin Abdulaziz Al-Asheikh berkata hadiah itu adalah mesej agung kerajaan yang terpancar menerusi peranan utamanya dalam dunia Islam, yang juga bertepatan dengan perkembangan dan perubahan dalam hubungan antara kedua-dua negara.

Al-Quran itu diterjemahkan kepada lebih 76 bahasa dan berjuta-juta naskhah sudah diedarkan kepada umat Islam di seluruh dunia.

Kompleks Raja Fahd meningkatkan kadar pengeluarannya melebih 100 peratus, dari tujuh juta naskhah kepada 20 juta naskhah setiap tahun dalam kualiti tinggi.

Menjelang akhir 2021, kompleks itu menghasilkan lebih 345 juta naskhah al-Quran dengan lebih 320 juta naskhah diedarkan sebagai hadiah daripada kerajaan Saudi kepada umat Islam di seluruh dunia.

Sumber : Bernama/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan