Skip to main content

Dunia

Satu mayat ditemukan dalam pencarian pesawat Indonesia yang hilang

Anggaran Waktu Membaca:
Satu mayat ditemukan dalam pencarian pesawat Indonesia yang hilang
Tangkapan layar pasukan SAR Gabungan membawa keluar serpihan pesawat ATR 42-500 milik Indonesia Air Transport (IAT) yang nahas di Gunung Bulusaraung, Kabupaten Maros, Sulawesi Selatan, pada 18 Januari 2025. (Gambar: ANTARA/HO-Dokumentasi Basarnas Makassar)
Diterbitkan : 18 Jan 2026 08:13PM Dikemas Kini : 18 Jan 2026 08:16PM
JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia menemukan pada Ahad (18 Jan), mayat seorang daripada 10 individu yang berada dalam pesawat malang yang terhempas di Sulawesi Selatan.

Koordinator Misi Mencari dan Menyelamat (SAR), Muhammad Arif Anwar berkata mayat itu dipercayai penumpang pesawat ATR 42-500 milik Indonesian Air Transport (IAT) yang dilaporkan hilang sejak Sabtu (17 Jan).

Beliau berkata mayat itu ditemukan pada kira-kira 2.20 petang waktu tempatan pada Ahad di lereng Bukit Bulusaraung di Kabupaten Maros, Sulawesi Selatan, di mana serpihan pesawat telah dikesan sebelum ini.

"Seorang mangsa lelaki ditemukan pada koordinat '04°54'44" S dan 119°44'48" E' , di dasar gaung sedalam kira-kira 200 meter dan berhampiran serpihan pesawat.

"Usaha mengeluarkan mayat sedang dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Pesawat yang membawa tujuh kru dan tiga penumpang itu dilaporkan terputus hubungan dengan kawalan trafik udara kira-kira tengah hari Sabtu di Daerah Maros semasa dalam penerbangan dari Yogyakarta ke Makassar.

Kementerian Hal Ehwal Marin dan Perikanan Indonesia pada Sabtu mengesahkan bahawa pesawat yang hilang itu merupakan pesawat peronda miliknya yang dikendalikan oleh IAT dan didaftarkan sebagai PK-THT.

Sementara itu, Encik Muhammad Arif berkata pasukan SAR telah mengenal pasti lokasi enjin pesawat berdasarkan laporan visual dari lapangan dan turut menemukan serpihan tambahan termasuk bahagian badan pesawat serta kerusi.

Beliau berkata operasi SAR yang bermula sejak awal Ahad itu berdepan keadaan bentuk muka bumi dan cuaca yang amat mencabar, termasuk hujan lebat serta kabus tebal yang mengehadkan jarak penglihatan kepada kira-kira lima meter di puncak bukit.

"Hal ini telah menjejaskan pergerakan pasukan, termasuk pembatalan sementara penurunan secara menegak demi keselamatan kakitangan," katanya.
Sumber : Bernama/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita