Skip to main content

Dunia

Satu lagi jenis COVID-19 baru dikesan di Britain: Menteri kesihatan

Satu jenis virus korona baru menyebabkan COVID-19 yang mungkin lebih mudah berjangkit, dikesan di Britain dalam kes-kes berkaitan dengan Afrika Selatan, kata Setiausaha Kesihatan Britain Matt Hancock pada Rabu (23 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
Satu lagi jenis COVID-19 baru dikesan di Britain: Menteri kesihatan

Seorang wanita dilihat memakai pelitup di Lapangan Terbang Heathrow, UK (Gambar: REUTERS/Henry Nicholls)

Diterbitkan : 24 Dec 2020 08:28AM Dikemas Kini : 24 Dec 2020 08:34AM

LONDON: Satu jenis virus korona baru menyebabkan COVID-19 yang mungkin lebih mudah berjangkit, dikesan di Britain dalam kes-kes berkaitan dengan Afrika Selatan, kata Setiausaha Kesihatan Britain Matt Hancock pada Rabu (23 Dis).

Jabatan kesihatan Afrika Selatan menyatakan minggu lalu bahawa mutasi genetik baru daripada virus itu telah dijumpai dan mungkin bertanggungjawab ke atas lonjakan jangkitan di sana baru-baru ini.

"Dengan kemampuan genomik Afrika Selatan yang hebat, kami mengesan dua kes melibatkan satu lagi jenis virus korona baru di Britain," kata Encik Hancock di satu sidang media.

"Kedua-duanya berhubungan rapat dengan kes-kes yang telah melakukan perjalanan dari Afrika Selatan dalam beberapa minggu lalu."

Britain kini sedang berusaha untuk mengekang penyebaran satu jenis mutasi virus yang hingga 70 peratus lebih mudah berjangkit, dan kajian lebih lanjut sedang dilakukan ke atas jenis baru virus itu.

"Jenis baru ini sangat menimbulkan keprihatinan, kerana ia lebih mudah berjangkit, dan kelihatan telah melalui mutasi lebih lanjut daripada jenis baru yang ditemui di Britain," katanya.

Individu-individu yang berhubung rapat dengan mereka yang dijangkiti jenis COVID-19 yang baru itu dan semua yang pernah berada di Afrika Selatan dalam tempoh dua minggu lalu, atau berhubungan rapat dengan seseorang yang mempunyai sejarah perjalanan itu, mesti menjalani kuarantin, katanya.

Sekatan segera dikenakan untuk perjalanan dari Afrika Selatan, tambahnya.

Negara-negara di seluruh dunia sejak beberapa hari lalu telah menutup sempadan dengan Britain dan Afrika Selatan selepas jenis baru COVID-19 yang cepat merebak itu dikenalpasti.

"Jenis baru di UK, yang telah kami kenal pasti, sangat berbeza dengan jenis di Afrika Selatan, ia mempunyai mutasi yang berbeza," kata Susan Hopkins dari agensi kesihatan awam England.

"Kedua-duanya kelihatan seperti lebih mudah berjangkit. Kami mempunyai lebih banyak bukti mengenai penularan untuk jenis virus baru di UK kerana kami telah mengkajinya dengan sangat teliti dengan rakan-rakan akademik. Kami masih meneliti jenis Afrika Selatan itu."

Beliau melahirkan keyakinan bahawa penularan jenis baru yang dikaitkan dengan Afrika Selatan itu akan terkawal dan menambah bahawa vaksin yang telah dihasilkan seharusnya berkesan.

"Kami tidak mempunyai bukti pada masa ini bahawa vaksin tidak akan berkesan, maka sebenarnya ini bermakna terdapat bukti kuat bahawa ia akan berkesan, kerana vaksin itu menghasilkan tindak balas imun yang kuat dan meluas dan bertindak terhadap banyak jenis virus itu," jelas beliau. 

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita