Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Satu 'berita baik' bahawa AS-China mulakan semula rundingan dagangan - PM Lee

Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Sabtu (29 Jun) berkata ia adalah satu "berita baik" bahawa Amerika Syarikat (AS) dan China sudahpun membuat keputusan untuk memulakan semula perbincangan perdagangan yang terhenti awal tahun ini. 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 29 Jun 2019 09:20PM Dikemas Kini : 29 Jun 2019 10:51PM

OSAKA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Sabtu (29 Jun) berkata ia adalah satu "berita baik" bahawa Amerika Syarikat (AS) dan China sudahpun membuat keputusan untuk memulakan semula perbincangan perdagangan yang terhenti awal tahun ini. Bagaimanapun, perjalanan yang harus ditempuhi masih jauh lagi sebelum masalah-masalah dapat diselesaikan.

Bercakap kepada para wartawan sejurus selepas pemimpin kedua-dua negara itu mencapai persetujuan semasa mesyuarat yang amat dinanti-nantikan di Sidang Puncak G20 - yang diadakan di Osaka, Jepun - Encik Lee mengakui perkembangan positif kerana sebarang persefahaman antara Presiden AS Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping bukanlah sesuatu yang mudah diraih. Amerika juga menyatakan ia tidak akan mengenakan cukai baru ke atas eksport China.

Pun begitu, PM Lee menarik perhatian, satu tempoh ketidakpastian boleh dijangkakan.

"Anda mesti menjangkakan ranjau dan liku sepanjang jalan sebelum beberapa keputusan dicapai. Bukan sahaja kerana isu-isunya rumit, tetapi juga kerana saya fikir matlamat kedua-dua belah pihak bercanggah," kata Encik Lee semasa hari kedua dan juga yang terakhir sidang puncak itu.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong di hari terakhir Sidang Puncak G20 yang diadakan di Osaka, Jepun. (Gambar: MCI)

Perdana Menteri Lee Hsien Loong di hari terakhir Sidang Puncak G20 yang diadakan di Osaka, Jepun. (Gambar: MCI)

Ketika membandingkan sidang puncak tahun ini dengan yang dianjurkan di Buenos Aires, Argentina, tahun lalu - di mana Presiden Trump dan Presiden Xi belum memulakan sebarang rundingan serius, Encik Lee berkata terdapat beberapa "ketegasan" dalam pendirian yang boleh menjadikan tolak ansur dan perjanjian lebih sukar dicapai.

"Kedua belah pihak mengambil sikap yang lebih tegas berbanding semasa (sidang puncak) di Buenos Aires, di mana rundingan hampir sampai ke tahap kesimpulan dan kemudian berada di luar kawalan. Oleh itu, perbezaan-perbezaan sudahpun dipastikan dengan jelas dan beberapa garis merah dibuat secara lebih terang-terangan," ujar PM Lee.

Beliau menambah jika kedua-dua kuasa besar ekonomi dunia itu mencapai persetujuan yang memenuhi rangka kerja antarabangsa dan bukan yang hanya memberi manfaat kepada mereka sahaja tetapi merugikan seluruh dunia, ia baik untuk Singapura.

Bagaimanapun, Encik Lee - yang juga menghadiri Sidang Puncak G20 selaku tetamu undangan Perdana Menteri Jepun SHinzo Abe - berkata semasa tempoh ketidakpastian berkaitan sistem perdagangan berbilang pihak, negara-negara perlu bersedia untuk melindungi kedudukan masing-masing, memajukan kepentingan mereka dan bersuara untuk diri mereka sendiri.

S'PURA PERLU KEKAL KUKUH

Ulasan Encik Lee dilakukan sedang perangkaan menunjukkan bahawa Singapura juga terkena tempias kemelut ekonomi sedang sekitaran perdagangan sejagat menjadi kian mencabar akibat ketegangan antara Amerika dengan China. Awal minggu ini, Penguasa Kewangan Singapura (MAS) menyatakan ramalan pertumbuhan ekonomi bagi 2019 sedang disemak.

Pengarah Urusan MAS Ravi Menon berkata ekonomi SIngapura "sudah jelas terjejas" akibat kelembapan ekonomi sejagat khususnya dalam sektor-sektor pengeluaran, perdagangan dan pelaburan.

Untuk mengatasi cabaran-cabaran yang mungkin timbul dari situasi semasa, Singapura harus memastikan kekuatan dalamannya dikekalkan dan meningkat, menurut PM Lee.

"Ini bermakna melatih rakyat kita untuk mempertingkat kemahiran kita, bekerja bersama-sama sebagai satu negara dan bersedia secara psikologi untuk sebarang ketidakpastian yang bakal mendatang kerana akan ada banyak ranjau dan duri, pasang surut," jelas beliau lanjut.

Encik Lee menambah adalah penting bagi Singapura untuk berkerja rapat dengan negara-negara Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) serta bersama negara-negara yang sehaluan seperti Jepun demi memastikan suara kolektif berhubung isu-isu sama didengar," tegas Encik Lee.

Beliau juga berkata Singapura perlu bekerja dalam forum berbilang pihak, membangunkan institusi-institusi, menyokongnya dan menggesa dilakukan rombakan mana-mana perlu untuk mengukuhkannya bagi mengekalkan perintah berasaskan peraturan antarabangsa sebaik mungkin.

KURANG KEMAJUAN DALAM ISU UTAMA SEPERTI SISTEM BERBILANG HALA, SEKITARAN

Komen-komen Encik Lee itu dibuat berlatarkan perkembangan daripada sidang puncak G20 di mana, menurut beliau, terdapat sedikit kemajuan sahaja dikecapi berhubung "isu-isu utama" misalnya dalam sekitaran dan sistem berbilang hala.

Bahkan, kata PM Lee, keadaan sudahpun berubah dengan ketara sejak empat atau lima tahun lalu. Waktu itu, perbezaan-perbezaan melibatkan negara-negara yang maju dengan negara-negara membangun. Namun sekarang ini, tambah beliau, perbezaan-perbazaan itu malah wujud dalam kalangan negara-negara maju.

Biarupun isu sekitaran adalah penting kepada dunia, Encik Lee berkata, negara-negara Eropah menganggap sekitaran sebagai satu "bendera politik" di mana mereka menyatakan sokongan. Sebaliknya pula, negara-negara lain berharap untuk menangani isu-isu sekitaran tanpa perlu mengambil tindakan mendadak.

PM Lee mengakui bahawa masalah yang dihadapi adalah sukar untuk diselesaikan dan beliau tidak mengharapkannya diselesaikan semasa mesyuarat G20. Namun, kata beliau, harapannya adalah agar negara-negara saling lebih memahami antara satu sama lain. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan