Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Satelit MEASAT-3d bantu M'sia capai liputan internet 100% sebelum 2025

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Satelit MEASAT-3d penting bagi Malaysia dalam mencapai liputan Internet 100 peratus sebelum 2025 serta meningkatkan mutu perkhidmatan jalur lebar, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa.

Beliau berkata perkhidmatan satelit itu yang dilancarkan hari ini (23 Jun) boleh digunakan dalam masa beberapa bulan lagi.

“Jadi pelancaran (satelit MEASAT-3d) hari ini ada dua aspek yang penting. Yang pertama, memungkinkan kita mencapai liputan 100 peratus bagi semua kawasan berpenduduk sebelum tahun 2025.

“Keduanya, kita boleh meningkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar, meningkatkan perkhidmatan kelajuan tinggi sepertimana yang kita gunakan rangkaian gentian optik yang sedang kita laksanakan di kawasan-kawasan yang maju,” katanya ketika ditemui media selepas menyaksikan siaran langsung pelancaran MEASAT-3d di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.

Malaysia, melalui MEASAT Satellite Systems Sdn Bhd (MEASAT), melancarkan Satelit MEASAT-3d di Pusat Angkasa Lepas Eropah Kourou, French Guiana, Amerika Selatan, pada 5.50 pagi waktu Malaysia.

Satelit kelapan yang dianggar melibatkan kos RM1.2 bilion (S$380 juta) dengan jangka hayat 18 tahun itu dijangka mampu merapatkan jurang ketersambungan digital dan membentuk masa depan ketersambungan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia, selaras inisiatif kerajaan melalui pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Encik Annuar berkata pelancaran itu merupakan satu perkembangan bersejarah dan sangat penting kepada usaha kerajaan menjayakan sepenuhnya dan melengkapkan pelaksanaan program JENDELA dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL).

Beliau berkata negara mempunyai jangkaan liputan Internet sehingga 97 peratus di bawah program JENDELA 1 yang menghubungkan kawasan berpenduduk dengan menggunakan kaedah jaringan gentian optik manakala baki tiga peratus merupakan kawasan pedalaman.

“Kawasan-kawasan ini (pedalaman) sudah tentu perlu menggunakan teknologi satelit. Lagipun sekarang memang kita telahpun menggunakan teknologi satelit tetapi lazimnya sekarang ini yang sedia ada memberikan perkhidmatan jalur lebar kapasiti yang rendah, kelajuan yang rendah.

“Kebanyakan semuanya kurang daripada 10 Mbps (mega bit setiap saat), tetapi MEASAT-3d berkeupayaan memberikan perkhidmatan jalur lebar di kawasan yang saya maksudkan tadi antara 35 Mbps hingga 100 Mbps.

“Sekarang mereka guna asas (kelajuan Internet) sahaja mungkin sedikit untuk data seperti gambar dan sebagainya tetapi kalau nak buat untuk kegunaan yang lebih banyak penggunaan datanya, teknologi satelit yang ada sekarang tidak cukup,” katanya.

Encik Annuar berkata perkhidmatan satelit MEASAT-3d itu akan dapat dinikmati rakyat Malaysia selepas tempoh percubaan selesai kira-kira sebulan dari sekarang.

Menurut beliau lagi, capaian Internet kawasan pedalaman sudah ada dalam rangka tindakan MyDIGITAL. Pihak itu juga sudah menyiapkan pelan untuk memastikan liputan Internet mencapai sehingga 100 peratus dan kelajuan keseluruhan sekurang-kurangnya 35 Mbps menjelang 2025.

“Matlamat yang ada dalam rangka tindakan itu akan tercapai sepenuhnya dengan adanya MEASAT-3d yang dilancarkan hari ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Mohammad Mentek mengucapkan tahniah kepada MEASAT atas pelancaran satelit MAESAT-3d itu.

Beliau berkata pelancaran tersebut akan membolehkan rakyat Malaysia menikmati ketersambungan yang lebih baik terutama di kawasan pedalaman.
 

Sumber : Bernama/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan