Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Sate, tahu goreng oleh anak watan S'pura laris di San Francisco

Setelah hampir 20 tahun bermastautin di San Francisco, Amerika Syarikat, impian untuk memperkenalkan hidangan Melayu di sana kini menjadi kenyataan bagi seorang anak watan Singapura.  

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Setelah hampir 20 tahun bermastautin di San Francisco, Amerika Syarikat, impian untuk memperkenalkan hidangan Melayu di sana kini menjadi kenyataan bagi seorang anak watan Singapura.

Cik Elly Suraya Greenfield mengambil langkah berani untuk menjual sate dan tahu goreng menerusi trak makanannya yang dipanggil "Satay By The Bay SF".

(Gambar: Elly Suraya Greenfield)

Nama bagi trak makanannya itu juga sesuai kerana Cik Elly sekeluarga memang tinggal di kawasan teluk San Francisco.

Dengan resipi turun-temurun keluarganya, usaha beliau itu merupakan antara cara untuk meneruskan warisan keluarganya di rantauan.

Di trak makanan 'Satay by the Bay SF' ini, antara hidangan yang terlaris dijual adalah daging sate lengkap dengan nasi himpit dan kuah kacang!

Tahu goreng. (Gambar: Elly Suraya Greenfield)

Selain sate, pelbagai hidangan tempatan seperti Tahu Goreng dan Sandwic Ketam Cili juga ditawarkan.

Harga bagi hidangan-hidangannya itu antara AS$11 (S$15) hingga AS$19 (S$26).

Menurut anak kelahiran Singapura ini, pada mulanya pelanggan yang beratur di trak makanannya hanyalah warga Singapura yang menetap di sana.

"Mereka merasakan bahawa sate ini membawa mereka kembali ke rumah di Singapura, dan mereka akan memberitahu saya bahawa rasa sate saya ini ibarat di pusat penjaja makanan; hanya kekurangan asap di muka sahaja," kata Cik Elly.

WARGA AMERIKA ANTARA PELANGGAN CIK ELLY

(Gambar: Elly Suraya Greenfield)

(Gambar: Elly Suraya Greenfield)

Namun lama-kelamaan warga Amerika yang lain juga mula terpikat dengan air tangan Cik Elly.

"Mereka kagum sebab satu cucuk lidi sate itu mempunyai berbagai-bagai rasa. Ia bukan sahaja daging cucuk tetapi daging yang sudah disaluti rempah yang mereka tertanya-tanya mengapa sate kecil sebegini mempunyai rasa yang sangat 'explosive'," ujar Cik Elly.

Beliau kini mendapati bahawa setengah daripada pelanggan tetapnya merupakan warga Amerika.

Dari usia 14 tahun lagi, Cik Elly sudah membantu ibunya di dapur, yang pada ketika itu bertugas sebagai seorang penyedia makanan.

Beliau sebenarnya tidak pernah terfikir untuk membuka kedai makannya sendiri.

Namun, semakin usianya meningkat, Cik Elly yang kini berusia 48 tahun, teringin untuk meneruskan warisan keluarganya dan nekad untuk membuka sebuah trak makanan bersama suaminya pada Mac tahun lalu.

(Gambar: Elly Suraya Greenfield)

"Sate sebenarnya ialah ikon makanan di Singapura yang tidak begitu terkenal di sini, jadi saya ingin orang di sini mengetahui tradisi makanan Melayu di Singapura iaitu sate," kongsi Cik Elly yang sebelum ini merupakan seorang ejen insurans selama 18 tahun.

Selain daging sate itu sendiri, kuah kacangnya yang pekat, likat lagi memikat itu banyak meraih pujian para pelanggannya.

Bagi pelanggannya yang berasal dari Amerika Syarikat, ramai yang sering membandingkan satenya itu dengan sate dari Thailand.

Namun menurut Cik Elly, kuah kacanglah yang membezakan dua jenis sate tersebut.

RESIPI ASLI TURUN-TEMURUN KELUARGANYA

Istimewanya, resipi kuah kacang yang digunakan itu merupakan resipi asli turun-temurun keluarganya.

(Gambar: Elly Suraya Greenfield)

"Resipi kuah sate ini ialah daripada Arwah Nyai saya. Dia adalah kacukan orang bangsa Cina dan juga Jawa dan kuah satenya ini sangat istimewa," kongsi Cik Elly.

"Ia mengandungi resipi rahsia yang merupakan gabungan Melayu dan Jawa. Ia juga mempunyai ciri-ciri pelbagai rasa seperti kemanisannya, kepedasannya, dan kemasamannya," tambah beliau lagi.

Selain itu juga, ia juga penuh dengan rempah-ratus, lantas membezakannya daripada kuah kacang Thailand yang menggunakan mentega kacang atau 'peanut butter', menurut Cik Elly.

(Gambar: Elly Suraya Greenfield)

Dengan sambutan yang menggalakkan, Cik Elly merancang dan berharap dapat mengembangkan lagi perniagaannya dengan membuka lebih banyak trak makanan pada masa akan datang.

Ini termasuk menebarkan sayapnya ke kota-kota lain seperti New York, Selatan California dan Kanada.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nj

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa