Skip to main content

Dunia

Sasaran Indonesia tingkat hasil beras kepada 32 juta tan pada 2025 terhambat

Indonesia kini negara pengeluar beras utama di Asia Tenggara, mengatasi Thailand dan Vietnam.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 05 Aug 2025 10:05PM Dikemas Kini : 05 Aug 2025 10:13PM
  • Indonesia kini negara pengeluar beras utama di Asia Tenggara, mengatasi Thailand dan Vietnam.
  • Negara itu mahu menghasilkan 32 juta tan beras tahun ini, iaitu pertambahan tiga peratus berbanding tahun lalu.
  • Demi meningkatkan pengeluaran beras, pihak berkuasa kini meningkatkan subsidi bagi penggunaan baja, meningkatkan mesin pertanian, mempercepat jadual penanaman dan menaikkan harga terendah bagi padi.
  • Data pemerintah pula menunjukkan terdapat 28 juta petani di Indonesia pada 2023 - merosot berbanding 35 juta petani pada 2003.
Dijana oleh AI
INDONESIA: Indonesia kini negara pengeluar beras utama di Asia Tenggara, mengatasi Thailand dan Vietnam.

Negara itu mahu menghasilkan 32 juta tan beras tahun ini, iaitu pertambahan tiga peratus berbanding tahun lalu.

Bagaimanapun ia kini berdepan dengan cabaran berkurangnya bilangan petani sawah padi serta isu-isu lain.

Rizab beras Indonesia di gudang-gudang pemerintah kini mencecah 4.2 juta tan.

"Produksi pangan kita belum pernah dalam sejarah kita memiliki cadangan beras di gudang pemerintah lebih dari 4.2 juta tan beras.

"Jagung juga produksinya naik 30 peratus, beras naik 48 peratus dan kita akan terus tegakkan," kata Presiden Indonesia Prabowo Subianto.

Pihak berkuasa menyatakan ia sudah meningkatkan usaha, namun faktor-faktor seperti pengagihan yang tidak rata menghambat kemajuan optimum.

Pasangan suami isteri Isna dan Caca bekerja tujuh jam sehari, tujuh hari seminggu di sawah padi.

Mereka menuai 1.2 tan padi sekurang-kurangnya tiga kali setahun.

Kesemua hasil tuaian dijual kepada kilang, dan ini menghasilkan pendapatan sekitar S$120 setiap tiga bulan.

"Belum, belum pernah dapat itu. Baja belum, wang belum. Membantu kalau dapat. Alhamdulilah begitu kalau dapat baja atau wang untuk sedia makan sehari-hari itu kalau dapat wang," kata Caca.

Demi meningkatkan pengeluaran beras, pihak berkuasa kini meningkatkan subsidi bagi penggunaan baja, meningkatkan mesin pertanian, mempercepat jadual penanaman dan menaikkan harga terendah bagi padi.

Namun demikian, eksport beras belum lagi suatu pilihan memandangkan pemerintah mahu menjamin rizab beras domestik dahulu dan menilai situasi iklim.

Selain itu, mampukah Indonesia berdikari secara mampan dalam penghasilan beras?

"Kalau kita menggunakan pendekatan kemampanan, tentu ada tiga hal yang perlu kita pertimbangkan.

"Pertama, aspek ekonominya, kemudian aspek sosial dan lingkungan. Kalau kita mahu swasembada secara berkelanjutan, tiga hal ini harus utuh.

"Tentu dipayungi dengan dasar yang kuat, yang berpihak pada petani, berpihak pada sektor pertanian," kata Penyelaras Nasional Perikatan Nasional Rakyat bagi Jaminan Bekalan Makanan, Said Abdullah.

Hakikatnya, bilangan petani di Indonesia terus semakin berkurangan dan para penganalisis mengatakan banyak lagi perlu dilakukan untuk menjadikan pertanian lebih menarik.

"Misal kata, sebagaimana mengikut banci pertanian, 80 peratus daripada petani di Indonesia berusia atas 40 tahun.

"Jadi dalam masa 20 tahun, mereka akan berusia 60 tahun. Jadi para petani akan menua.

"Jadi melainkan, dan sehingga, kita mengekalkan tenaga kerja itu dalam (sektor) pertanian, kita tidak boleh meneruskan dengan penghasilan," kata Wakil FAO bagi Indonesia dan Timor-Leste, Rajendra Aryal.

Data pemerintah pula menunjukkan terdapat 28 juta petani di Indonesia pada 2023 - merosot berbanding 35 juta petani pada 2003.

Dengan 17 peratus daripada mereka kini memiliki kurang setengah hektar tanah milik keluarga dan 15 juta pula menanam tanaman makanan seperti padi, Indonesia perlu meningkatkan lagi kebajikan para petani jika ia mahu membekalkan beras secara mampan kepada 280 juta penduduknya.
Sumber : BERITA Mediacorp/FZ/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita