Skip to main content

Dunia

Sarjan ditahan, didakwa cabul dua sukarelawan polis wanita di Muar

Seorang Timbalan Ketua Polis Balai (TKPB) berpangkat sarjan ditahan di daerah Muar semalam (10 Mei) kerana dipercayai mencabul dua anggota sukarelawan polis wanita antara Rabu hingga Jumaat lepas.

Anggaran Waktu Membaca:
Sarjan ditahan, didakwa cabul dua sukarelawan polis wanita di Muar

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 11 May 2020 06:40PM Dikemas Kini : 11 May 2020 06:42PM

JOHOR BAHRU: Seorang Timbalan Ketua Polis Balai (TKPB) berpangkat sarjan ditahan di daerah Muar semalam (10 Mei) kerana dipercayai mencabul dua anggota sukarelawan polis wanita antara Rabu hingga Jumaat lepas.

Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata proses reman terhadap anggota polis berusia 55 tahun itu kini sedang dilakukan.

"Kes cabul membabitkan dua anggota sukarelawan polis wanita ini berlaku pada 6, 7 dan 8 Mei lalu. Kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan kita akan jalankan siasatan selengkap-lengkapnya.

"Kalau kita dapati ada asas untuk tuduh anggota atau pegawai, saya akan pastikan tangkapan dibuat. Saya tiada tolak ansur dalam kes sebegini, sesiapa yang ambil kesempatan terhadap anggota atau pegawai perempuan akan dikenakan tindakan tegas, " katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini (11 Mei).

Dalam perkembangan lain, beliau berkata polis akan memohon perintah sambung reman terhadap selebriti dan deejay radio, Patrick Teoh, 73 tahun, esok, bagi membantu siasatan menghina Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan institusi diraja Johor.

Menurutnya, tempoh reman tiga hari yang diperoleh sebelum ini akan berakhir esok.

Bagaimanapun, katanya, perintah sambung reman terpaksa dimohon kerana lelaki tersebut enggan bekerjasama terhadap siasatan yang dijalankan sebelum ini.

“Semua kata laluan dia lupa termasuk untuk e-mel. Telefon bimbitnya pula hilang sehari sebelum dia dipanggil untuk disiasat.

“Jadi mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, kita akan memohon reman antara tiga atau empat hari lagi,” katanya.

Jumaat lalu, Polis Johor menerima satu laporan polis daripada orang awam berikutan satu muat naik kenyataan jelik melalui laman Facebook atas nama Patrick Teoh yang bertujuan menghina dan menyakitkan hati Tunku Mahkota Johor dan institusi diraja Johor,

Susulan laporan itu, sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersial IPK Johor membuat tangkapan terhadap suspek di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Selangor, Sabtu lalu.

Sumber : Bernama/SU/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita