Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Sarawak, Selangor negeri terbaru terjejas banjir

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Sarawak dan Selangor antara negeri terbaru terjejas banjir menyaksikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mula dibuka di kedua-dua negeri berkenaan, setakat pukul 8.00 pagi pada Jumaat (23 Dis).
 
Sementara itu, mangsa banjir di Perak meningkat berbanding Khamis malam (22 Dis) manakala Terengganu serta Kelantan semakin berkurangan, sebaliknya mangsa banjir di Pahang tidak berubah.

Di Sarawak, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan sejumlah tiga PPS dibuka di negeri itu setakat pukul 7.00 pagi Jumaat, bagi menempatkan 119 mangsa banjir yang melibatkan 30 keluarga.

Menurut laporan jawatankuasa itu, kesemua PPS berkenaan terletak di bahagian Kuching, dengan dua daripadanya mula beroperasi sejak awal pagi Jumaat.

PPS terlibat ialah PPS Dewan Kampung Bedaun dan PPS Balai Raya Kampung Jugan yang masing-masing menempatkan seramai 75 dan 40 mangsa manakala PPS Balai Raya Kampung Opar hanya menempatkan empat mangsa.

Di Selangor, Sekretariat JPBN Selangor memaklumkan dua PPS dibuka sejak malam tadi iaitu SK Merbau Sempak, Shah Alam membabitkan 20 mangsa dan Dewan MPKS Desa Coalfield, Kuala Selangor melibatkan 34 mangsa.

Di Perak, mangsa banjir meningkat kepada 50 orang daripada 17 keluarga setakat pukul 8.00 pagi ini berbanding 41 orang daripada 15 keluarga di dua daerah pada malam Khamis.

Jurucakap Sekretariat JPBN berkata PPS Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abd Rahman Talib (SMART) yang dibuka buat kali keenam sejak bulan lalu, menempatkan 24 mangsa daripada lima keluarga dari Kampung Batu 7 Changkat Jong, Hilir Perak setakat Khamis.

Sementara PPS SK Sungai Tiang Darat di Bagan Datuk tiada perubahan apabila seramai 26 orang daripada 12 keluarga kekal berlindung di PPS itu.

Menurut jurucakap itu, paras air Sungai Bidor di Changkat Jong, Hilir Perak masih melepasi paras amaran iaitu 3.26 meter (m) ketika ini dan hujan dilaporkan di kebanyakan kawasan.

Di Terengganu, jumlah mangsa banjir terus berkurangan kepada 25,895 orang berbanding 27,396 orang Khamis malam.

Sekretariat JPBN dalam kenyataan memaklumkan sebanyak 6,844 keluarga ditempatkan di 181 PPS di kesemua lapan daerah di negeri itu.

Daerah Kemaman mencatatkan seramai 5,439 mangsa; Dungun 5,201 mangsa; Besut 4,309 mangsa; Hulu Terengganu 3,567 mangsa; Kuala Nerus 3,561 mangsa; Kuala Terengganu 2,503 mangsa; Setiu 1,118 mangsa; manakala Marang 197 mangsa.

Di Kelantan, seramai 24,297 mangsa banjir daripada 7,623 keluarga berlindung di PPS pagi ini, berkurang berbanding 24,690 orang daripada 7,709 keluarga Khamis malam.

Sekretariat JPBN memaklumkan kesemua mangsa ditempatkan 75 PPS di sembilan jajahan membabitkan Pasir Mas, Tanah Merah, Kuala Krai, Pasir Puteh, Kota Bharu, Bachok, dan Tumpat, Jeli dan Machang.

Di Pahang, rekod Sekretariat JPBN pagi ini menunjukkan angka mangsa banjir kekal 23 orang daripada enam keluarga di satu PPS iaitu Sekolah Kebangsaan Sungai Ular, Kuantan.

Jabatan Pengairan dan Saliran pula melaporkan paras air Sungai Keratong, Rompin dan Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran serta Paloh Hinai, Pekan turut kekal melepasi tahap amaran.

Di Johor, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS di Segamat kekal 46 orang.

JPBN memaklumkan dua PPS masih dibuka di daerah itu melibatkan seramai 34 orang di Balai Raya Kampung Batu Badak dan 12 orang di Dewan Komuniti Kampung Tasek.

"Kesemua mangsa daripada 14 keluarga itu adalah penduduk dari Kampung Seberang Batu Badak dan Kampung Batu 5 Segamat," menurut jawatankuasa itu dalam kenyataan, pada Jumaat.

 
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan