Sarawak laksana kuarantin 14 hari ke atas individu yang tiba dari S'pura
Berkuat kuasa hari ini (10 Feb), sesiapa yang tiba dari Singapura ke Sarawak akan dikehendaki menjalani kuarantin sendiri selama 14 hari, kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Amar Douglas Uggah Embas.

(Gambar: BERNAMA)
KUCHING: Berkuat kuasa hari ini (10 Feb), sesiapa yang tiba dari Singapura ke Sarawak akan dikehendaki menjalani kuarantin sendiri selama 14 hari, kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Amar Douglas Uggah Embas.
Beliau berkata keputusan tersebut dibuat berdasarkan perkembangan di Singapura yang menyaksikan Sistem Respons Penularan Penyakit (DORSCON) republik itu dinaikkan ke tahap Jingga berhubung penularan virus korona baru 2019 (2019-nCoV).
“Menurut DORSCON, tahap itu (Jingga) adalah amaran kedua tertinggi, yang menunjukkan bahawa penyakit tersebut adalah teruk dan mudah merebak daripada orang-ke-orang namun ia tidak merebak secara meluas di Singapura dan sedang dibendung,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu hari ini.
Encik Uggah, yang juga Timbalan Ketua Menteri, berkata kejadian kluster 2019-nCoV di Singapura yang berlaku di sebuah gereja, kedai produk kesihatan dan hotel selepas satu persidangan antarabangsa, amat merisaukan Sarawak.
“Mangsa meliputi mereka yang pergi ke gereja hinggalah pemandu teksi, pemandu kereta sewa persendirian, pemandu pelancong dan seorang guru. Mereka tidak pergi ke China namun terjejas di semua lokasi ini,” katanya.
Encik Uggah berkata jawatankuasa itu akan melibatkan pelbagai badan yang mewakili gereja, kuil, masjid, Unit Agama-Agama lain, persatuan teksi, persatuan pengusaha hotel, persatuan bas jarak jauh dan lain-lain untuk mendapatkan sokongan mereka dalam usaha memerangi jangkitan itu, terutama dalam mencegah penularannya.
Mengulas perkembangan terkini penyakit itu di Sarawak, beliau berkata antara 10 Jan hingga 9 Feb, terdapat sejumlah 60 kes Pesakit Dalam Siasatan (PUI).
"Kami mempunyai 43 kes negatif dan 17 lagi sedang menunggu ujian makmal manakala 15 daripada 43 kes ini membabitkan rakyat Malaysia yang dicatat di Hospital Umum Sarawak, lapan di Hospital Sibu, tujuh di Miri dan empat di Bintulu,” katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.