Skip to main content

Dunia

Saranan tambang RM5 Kereta Api Ulang Alik Johor Bahru-SG bagi rakyat Malaysia undang reaksi bercampur-campur netizen

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Rakyat Malaysia tidak lama lagi akan membayar kadar tambang RM5 (S$1.44) bagi setiap perjalanan khidmat Kereta Api Ulang Alik Tebrau antara Johor Bahru dengan Woodlands.

Demikian menurut Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke.

Langkah yang diusulkan itu menerima pujian daripada netizen Malaysia, yang mengalu-alukan tambang lebih murah itu. Namun, yang lain mengkritiknya sebagai tidak adil kerana memberi subsidi tiket kereta api kepada pekerja Malaysia di Singapura, yang memperoleh pendapatan lebih tinggi daripada rakyat di Malaysia.

Pada masa ini kadar tambang bagi perjalanan dari Johor Bahru ke Singapura adalah RM5 untuk pergi, manakala S$5 atau RM17.30 bagi pulang ke Johor Bahru.

Menurut Encik Loke, KTMB telah mengusulkan untuk menghapuskan perbezaan dalam kadar tambang. KTMB, pengendali kereta api nasional Malaysia, bertanggungjawab menguruskan khidmat Kereta Api Ulang Alik Tebrau.

Encik Loke sedia maklum bahawa tidak perlu bagi Malaysia untuk mengadakan berbincang dengan Singapura memandangkan KTMB merupakan sebuah entiti Malaysia.

"Saya mengalu-alukan saranan tersebut dan akan berbincang dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (Malaysia). Kami berharap ia akan dapat dilaksanakan menjelang awal tahun depan," kata Encik Loke, dipetik media tempatan sebagai berkata demikian di sebuah sidang media pada Selasa (10 Dis).

"Khidmat Kereta Api Ulang Alik Tebrau digunakan oleh ramai; kira-kira 10,000 penumpang menggunakan khidmat tersebut setiap hari."

Langkah tersebut dialu-alukan sesetengah netizen, yang merasakan bahawa harga tiket lebih murah itu adalah adil bagi rakyat Malaysia.

Seorang netizen warga Singapura berkata beliau hairan mengapa rakyat Malaysia tidak menerima tambang kereta api bersubsidi. "RM17 agak mahal bagi satu tiket perjalanan sehala," ujarnya dalam satu catatan di Facebook.

Seorang lagi pengguna di platform media sosial X juga berkata "lebih mudah untuk bercuti di Singapura selepas ini."

Beberapa netizen pula memuji kerajaan Malaysia, sambil berkata bahawa aturan baharu yang disarankan itu menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap rakyatnya.

Bagaimanapun, ada pula mengkritik langkah berkenaan, dengan sebilangannya berkata bahawa tambang yang dikurangkan itu adalah tidak adil memandangkan pekerja di Singapura mendapat gaji lebih tinggi daripada mereka yang bekerja di Malaysia.

Sementara itu, ada juga yang menggesa agar khidmat ulang-alik itu berhenti operasi sebaik sahaja Laluan Sistem Gerak Cepat (RTS) Johor Bahru-Singapura mula beroperasi.


Pada awal Oktober, Malaysia mengumumkan bahawa ia akan cuba untuk berunding dengan Singapura untuk mengekalkan khidmat Kereta Api Ulang Alik Tebrau selepas Laluan RTS Johor Bahru-Singapura mula beroperasi, yang dijangka berlaku pada akhir 2026.


Pada 26 Okt, Encik Loke berkata langkah menghentikan khidmat ulang-alik itu adalah salah satu syarat yang dipersetujui antara Malaysia dan Singapura dalam melaksanakan projek RTS. Beliau menambah bahawa "bukanlah salah" untuk mempunyai lebih banyak keterhubungan antara kedua-dua negara itu.


Mengulas hal tersebut, Encik Loke berkata pada Ahad bahawa masih ada masa bagi rundingan diadakan untuk mengekalkan khidmat ulang-alik tersebut.


"Ada lagi tiga tahun sebelum Laluan RTS siap. Kami akan memberi tumpuan kepada memperbaiki khidmat tersebut terlebih dahulu," katanya.

Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita