Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Sanggup jual buah pinggang untuk beli iPhone 14

Anggaran Waktu Membaca:
BANGKOK: Umum tahu syarikat gergasi Apple kini ‘menggoda’ pengguna telefon bijak di merata dunia dengan menawarkan edisi terbaru mereka iaitu iPhone 14.

Harganya pula diketahui antara yang termahal dalam kategori peranti mudah alih seumpamanya pada zaman ini.

Dalam kalangan warga maya, keinginan untuk memiliki peranti mudah alih tersebut dijadikan satu topik perbualan hangat, hinggakan tidak kurang jumlahnya yang terbiasa menggunakan jenaka ‘perlu jual buah pinggang untuk memilikinya’, seperti dinukil Astro AWANI.

Meskipun ia sekadar bahan lawak untuk memberi contoh perbandingan harga, netizen di banyak negara di seluruh dunia pernah mendengar dan menyebutnya.

Di Thailand, frasa dan tanda pagar ‘jual buah pinggang untuk iPhone 14’ dilihat semakin berleluasa sehingga menjadi tular di beberapa platform media sosial.

Perkembangan itu menimbulkan rasa kurang senang bagi sesetengah golongan karyawan, terutamanya mereka yang berkhidmat dalam bidang rawatan kesihatan dan perubatan, lapor Astro AWANI.

Portal Bangkok Post melaporkan, Pengarah Urusan Pusat Pendermaan Organ di bawah Persatuan Palang Merah Thailand, Dr Sophon Mekthon pada Ahad (11 Sep) mengatakan, isu pemerdagangan organ dalaman adalah sangat sensitif.

“Lawak dan 'meme' yang mencadangkan individu supaya sanggup menjual buah pinggang mereka demi sebuah iPhone adalah tidak wajar dan tidak beretika,” tegasnya.

Persatuan Palang Merah Thailand yang bertanggungjawab dalam hal pendermaan organ menegaskan bahawa tiada pemerdagangan organ dalaman manusia berlaku di negara itu.

“Pendermaan dan pemindahan organ dalaman hanya dilakukan antara ahli keluarga yang rapat, seperti ibu bapa dan anak-anak. Tiada perdagangan (organ) seumpamanya.

“Adalah tidak wajar, walau hanya dengan memberi cadangan untuk menjual organ, hanya untuk mendapatkan duit demi membeli iPhone. Ia salah dari segi moral dan etika,” kata Dr Sophon Mekthon.

Walaupun kebanyakan netizen menganggapnya sebagai jenaka semata-mata, hal mengorbankan organ dalaman untuk mendapatkan wang adalah suatu perkara yang boleh saja terjadi dalam kelompok masyarakat tertentu yang berdepan situasi terdesak, lapor Astro AWANI.

Di negara-negara tertentu, isu pemerdagangan organ dalaman manusia di pasaran gelap adalah satu masalah yang membimbangkan.

Maka itu, tidak sesuai jika ‘idea’ menjual organ untuk ganjaran wang atau kesenangan segera, sering diulang dan diuar-uarkan dalam pemikiran umum.

Dr Sophon berkata, seseorang itu boleh mendermakan tubuh mereka untuk kajian perubatan, termasuk organ seperti jantung, mata dan hati, namun selepas individu itu meninggal dunia.

Beliau sebaliknya menyeru agar orang ramai mendaftar sebagai penderma organ, memandangkan terdapat kekurangan penderma organ buat masa ini di Thailand sedangkan kira-kira 6,000 penerima sedang dalam senarai menunggu.
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan