Skip to main content

Dunia

Sanggup berhenti rokok selepas 40 tahun demi derma buah pinggang untuk anak

Anggaran Waktu Membaca:
Sanggup berhenti rokok selepas 40 tahun demi derma buah pinggang untuk anak

Gambar: @dr.zulkifli/TikTok

Diterbitkan : 24 Nov 2024 10:21PM Dikemas Kini : 24 Nov 2024 10:31PM
KELANTAN: Bagi ramai orang, berhenti merokok bukan perkara yang mudah.

Ini lebih-lebih lagi apabila mereka sudah mengamalkan tabiat tidak sihat itu untuk tempoh yang lama.

Bagaimanapun, seorang warga emas 61 dari Kelantan berjaya melakukannya.

Ayub Abdul Ghani melakukan semua itu demi anaknya yang mempunyai masalah buah pinggang dan bertahun-tahun meneruskan hidup dengan rawatan hemodialisis.

“Ayah saya merupakan wira saya,” kata Mohammad Zulkifli, 27 tahun, yang kini bertugas sebagai doktor di sebuah hospital kerajaan di Kelantan.

Bagaimanapun Zulkifli mengakui perkara itu tidak mudah buat ayahnya.

“'Struggle' (bergelut) juga. Ambil masa juga untuk berhenti sepenuhnya,” katanya, dipetik daripada agensi berita Malaysiakini.

Menurutnya, ayahnya terpaksa berhenti rokok kerana penderma organ harus sihat tubuh badan.

Encik Ayub sebelum ini menghisap sekotak rokok kretek setiap hari.

Bekas buruh binaan itu merokok kira-kira sekotak atau berbelas-belas batang sehari.

Zulkifli yang kini berkhidmat di Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu, Kelantan menghadapi kegagalan buah pinggang tahap akhir atau tahap lima pada tahun 2020.

Anak keenam daripada tujuh adik beradik itu disahkan menghadapi kegagalan buah pinggang semasa belajar bidang perubatan di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Gombak.

Bagaimanapun dia meneruskan kuliah walaupun dengan wayar 'Internal Jugular Catheter' (IJC) di leher.

“Ke sana dan ke sini dengan wayar IJC di leher semasa belajar,” katanya menerusi TikTok videonya.

“Habis belajar terus pergi hemodialisis,” katanya, lapor Malaysiakini.

“Waktu ini saya rasa putus asa, cita-cita terkubur,” kata lagi.

Dia juga mendedahkan dia berkhidmat sebagai doktor walaupun statusnya sebagai pesakit buah pinggang, selepas tamat belajar.

Zulkifli menerima buah pinggang ayahnya kelmarin (19 Nov) melalui pemindahan di Hospital Kuala Lumpur.

Zulkifli memberitahu Malaysiakini bahawa pembedahannya berjalan dengan lancar dan dia mula mengeluarkan air kencing dan sekarang menunggu dalam proses pemulihan.

Ayahnya juga sihat, boleh berjalan dan makan.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita