San Francisco bandar utama AS yang pertama larang penjualan rokok elektronik
San Francisco menjadi bandar utama pertama di Amerika Syarikat yang mengharamkan penjualan dan pengeluaran rokok elektronik (e-rokok).

San Francisco mengharamkan penjualan dan pengeluaran rokok elektronik. (Gambar: Mike Segar/Reuters)
LOS ANGELES: San Francisco menjadi bandar utama pertama di Amerika Syarikat yang mengharamkan penjualan dan pengeluaran rokok elektronik (e-rokok).
Badan perundangan bandar itu sebulat suara meluluskan arahan yang dianggap penyokongnya sebagai perlu. Ini menyusuli masalah kesihatan awam yang semakin ketara, akibat peningkatan penggunaan e-rokok atau juga dikenali sebagai 'vape' dalam kalangan remaja.
Mengikut perintah itu, produk e-rokok yang dijual di kedai atau secara online di San Francisco, perlu mendapat kelulusan pihak berkuasa kesihatan persekutuan, yang tidak wujud buat masa ini.
Peningkatan populariti e-rokok iaitu alat menggunakan kuasa bateri amat membimbangkan pihak berkuasa kesihatan Amerika Syarikat kerana ia membolehkan penggunanya menyedut cecair nikotin, yang sering menggunakan perisa buah-buahan.
Malah, jumlah golongan muda Amerika Syarikat yang mengambil e-rokok meningkat sebanyak 1.5 juta pada 2018. Bahkan kira-kira 3.6 juta pengguna e-rokok di negara itu ialah para pelajar peringkat sekolah menengah.
San Francisco adalah tempat pengeluar e-rokok terkenal di pasaran, Juul.
Datuk Bandar San Francisco, London Breed mempunyai tempoh 10 hari untuk menandatangani undang-undang itu dan beliau mengesahkan akan berbuat demikian.
“Kami perlu mengambil tindakan untuk melindungi kesihatan golongan belia di San Francisco dan menghalang generasi akan datang daripada mengalami ketagihan terhadap produk ini.
“Syarikat e-rokok juga sering menyasarkan anak kita dalam iklan mereka dan menyebabkan mereka ketagihan terhadap produk nikotin,” kata Cik Breed dalam satu kenyataan sebelum proses undian itu berlangsung semalam.
Bagaimanapun, para pengkritik menganggap peraturan itu menyukarkan orang ramai yang cuba mencari jalan alternatif berbanding rokok biasa.
E-rokok tidak mengandungi produk-produk penyebab barah yang ditemui dalam tembakau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.