Skip to main content

Dunia

Sambutan Songkran kurang meriah tahun ini, krisis tenaga jejas pelancongan Thailand

Musim perayaan utama Thailand berdepan tekanan menyusuli krisis tenaga global yang mengurangkan ketibaan pelancong dan permintaan perjalanan semasa perayaan Songkran 2026.

Anggaran Waktu Membaca:
Sambutan Songkran kurang meriah tahun ini, krisis tenaga jejas pelancongan Thailand

Cuti Songkran berlangsung pada tahun ini berlatarbelakangkan kenaikan harga minyak dan ketegangan geopolitik. (Gambar: Bernama)

BANGKOK: Musim perayaan utama Thailand berdepan tekanan menyusuli krisis tenaga global yang mengurangkan ketibaan pelancong dan permintaan perjalanan semasa perayaan Songkran 2026.

Secara tradisinya ia dimeriahkan oleh kedatangan pelancong besar-besaran dan festival air yang meriah, cuti Songkran berlangsung tahun ini dengan latar belakang kenaikan harga minyak dan ketegangan geopolitik, menimbulkan kebimbangan pada seluruh sektor pelancongan.

Pelancong dari Malaysia, yang biasanya memenuhi wilayah selatan Thailand semasa perayaan, menunjukkan permintaan yang lebih lemah tahun ini, dengan tempahan hotel dilaporkan lebih perlahan kali ini berikutan krisis tenaga global.

Presiden Persatuan Hotel Hatyai-Songkhla Dr Sittipong Sittiprapha berkata tempahan hotel merosot lebih 50 peratus dalam tempoh Songkran dari 10 hingga 13 April.

“Kami dimaklumkan ramai pengusaha pelancongan telah membatalkan perjalanan ke Thailand kerana kebimbangan kekurangan bahan api,” kata beliau kepada Bernama ketika dihubungi.

Beliau berkata berikutan krisis banjir yang melanda Hatyai dan Songkhla tahun lalu, pengusaha pelancongan bersiap sedia secara meluas untuk mengalu-alukan pengunjung ke Songkran, yang biasanya ialah musim puncak.

Bagaimanapun Dr Sittipong berkata walaupun terdapat pelbagai aktiviti pemasaran, banyak hotel mencatatkan kadar penginapan bawah 50 peratus bagi tempoh perayaan.

"Ini adalah petanda yang membimbangkan bagi pelancongan di selatan Thailand. Tahun lepas, kira-kira 30,000 bilik telah ditempah beberapa bulan sebelum Songkran, tetapi tahun ini hanya sekitar 15,000 bilik telah ditempah," kata beliau.

Sementara itu, Gabenor Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT) Thapanee Kiatphaibool berkata penilaian situasi pelancongan pada Mac 2026 menunjukkan kelembapan dalam ketibaan dari pasaran jarak jauh terutamanya dari Timur Tengah.

Beliau berkata TAT sedang melaraskan strategi promosinya dengan memberi tumpuan kepada pasaran jarak dekat dan menggalakkan pilihan perjalanan tenaga rendah dalam ketidaktentuan global yang berterusan.

“TAT memberikan penekanan lebih besar kepada pelancong dari pasaran jarak dekat seperti China, Malaysia dan India, yang kekal sebagai sumber besar dan berpotensi tinggi.

“China, khususnya, mencatatkan pertumbuhan ketara sebanyak 38 peratus pada Mac 2026 berbanding tempoh yang sama tahun lepas,” katanya.

Beliau menambah kesan perang dicerminkan menerusi kapasiti terhad tempat duduk syarikat penerbangan dan peningkatan kos pengangkutan.

Perang itu, yang dicetuskan oleh gangguan terhadap laluan bekalan minyak global di Timur Tengah, mendorong harga minyak mentah melonjak melebihi AS$100 (S$128.67) setong, dengan ketara meningkatkan kos bahan api di seluruh dunia.

Di Thailand, harga diesel naik secara mendadak dalam beberapa minggu kebelakangan ini, menyebabkan pertambahan kos pengangkutan dan operasi pada seluruh industri pelancongan.

Menyusuli jangkaan prospek yang semakin teruk, kerajaan telah mengkaji semula sasaran ketibaan pelancong asing 2026 kepada sekitar 32.14 juta, turun daripada unjuran awal kira-kira 36.7 juta, kerana kos perjalanan yang lebih tinggi dan ketidaktentuan ekonomi mempengaruhi permintaan global.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita