Skip to main content

Dunia

Sambutan Hari Kebangsaan Malaysia kembali diadakan di Dataran Putrajaya

Anggaran Waktu Membaca:
PUTRAJAYA: Hari Kebangsaan Malaysia 2023 disertai pelbagai lapisan masyarakat di Dataran Putrajaya hari ini (31 Ogos). 

Seawal 1 pagi tadi, lautan manusia membanjiri setiap sudut di sekitar Dataran Putrajaya yang menjadi lokasi sambutan bersejarah, genap 66 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan hari ini. 

Bertemakan “Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan”, ia bertepatan dengan visi baharu buat negara Malaysia MADANI, yang didukung Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Ketibaan para pemimpin Malaysia bermula 7.30 pagi disusuli dengan kemuncak keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Sejurus ketibaan Sultan Abdullah dan Tunku Azizah di pentas diraja, lima pesawat iaitu tiga helikopter Airbus H225M (EC 725), AgustaWestland AW109 (Agusta A109) dan Helikopter Operasi Maritim (HOM) AW 139 melakukan terbang lintas diiringi dengan nyanyian lagu kebangsaan Malaysia, Negaraku.

Sultan Abdullah dan Tunku Azizah kemudian menerima Tabik Hormat Diraja dan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota.

Ketibaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim diiringi paluan gendang dan disahut laungan “Malaysia MADANI” sebanyak tiga kali.

Kali terakhir Hari Kebangsaan Malaysia diadakan di Dataran Putrajaya adalah pada 2019.

Selain perdana menteri, dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Fadillah Yusof serta menteri-menteri Kabinet Malaysia, diplomat dan perwakilan asing menghadiri sambutan Hari Kebangsaan 2023 itu.

Sebagai langkah mempromosi warisan batik Malaysia, Jemaah Menteri dan tetamu kehormat antaranya memperagakan batik khas bermotifkan bunga raya dan belang Harimau Malaya rekaan Kraftangan Malaysia. 

Acara sambutan yang melibatkan lebih 17,000 peserta itu turut disiarkan secara langsung melalui kaca televisyen dan laman media sosial.
Sumber : Bernama/AA/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita