Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Sambutan hangat sajian pusat penjaja ala S'pura di New York

Anggaran Waktu Membaca:
01:50 Min
Pusat penjaja ala Singapura membuka pintunya secara rasmi di Manhattan, New York pada Rabu (28 Sep).
Diterbitkan : 29 Sep 2022 06:47PM Dikemas Kini : 29 Sep 2022 08:43PM
NEW YORK: Pusat penjaja ala Singapura membuka pintunya secara rasmi di Manhattan, New York pada Rabu (28 Sep).

Ia adalah pusat penjaja yang pertama seumpamanya di Amerika Syarikat.

Pusat penjaja Urban Hawker mempunyai 17 gerai, termasuk 11 yang dibawa langsung dari Singapura.

Penduduk New York datang berduyun-duyun untuk menikmati pelbagai juadah yang mencerminkan budaya berbilang kaum Singapura.

"Tentunya sesuatu yang kita tidak lihat setiap hari. Ia sangat enak. Ia lain daripada yang lain, tetapi sangat bagus. Saya tidak tahu apa hidangannya," kata Anthony Cristiano, seorang pelanggan Urban Hawker yang ditemui Reuters pada Rabu (28 Sep).

Pelanggan Julie Lee pula berkata pada kunjungan ketiganya, "Bagi semua orang di pejabat saya, ini adalah antara pilihan makanan yang pertama mereka pertimbangkan apabila mereka memikirkan tentang makan tengah hari. Saya cuba Hainan Jones, nasi ayam mereka. Ayamnya sungguh menakjubkan. Semua orang patut mencubanya, kaya dengan perisa, sangat lembut."

Pemilihan menu yang disajikan diselia oleh pengasas Makansutra, Encik KF Seetoh.

Menurut beliau, buah fikiran untuk membuka pusat makanan Singapura di New York tercetus semasa berbual dengan cef selebriti Anthony Bourdain.

"Saya ingin melakukan perkara ini kerana ini adalah suatu budaya dan New York adalah pusat budaya. Budaya yang termasyhur di Singapura yang saya ketahui adalah makanan.

"Saya ingin berkongsi tentang jati diri saya menerusi makanan dan ia sangat mudah dieksport dan ia memberikan peluang bagi 26,000 penjaja yang lain di Singapura untuk mengeksport budaya makanan warisan mereka," jelas Encik See Toh.

Turut tampil di Urban Hawker ialah Padi D' NYC yang menjadi gerai nasi padang Halal yang pertama di Manhattan dan Ashes Burnnit yang memperkenalkan roti john ala roti 'subway'.
 
Sumber : Reuters/ZM/hy

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan