Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Sambutan Aidilfitri kembali normal di M'sia hasil muafakat, kesabaran rakyat, kata Annuar

Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa mengajak umat Islam di Malaysia menyambut Aidilfitri dengan penuh kesyukuran selepas negara kini memasuki Fasa Peralihan ke Endemik.

Anggaran Waktu Membaca:
Sambutan Aidilfitri kembali normal di M'sia hasil muafakat, kesabaran rakyat, kata Annuar

Dekorasi Selamat Hari Raya Aidilfitri dan bangunan Sultan Abdul Samad yang dirakam menggunakan teknik berbilang pendedahan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. (Gambar: BERNAMA)

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa mengajak umat Islam di Malaysia menyambut Aidilfitri dengan penuh kesyukuran selepas negara kini memasuki Fasa Peralihan ke Endemik.

Beliau berkata hasil muafakat, kerjasama, kesabaran dan pelbagai ikhtiar yang dilakukan semua pihak, akhirnya rakyat berjaya untuk kembali kepada kehidupan yang hampir normal. 

“Alhamdulillah, Aidilfitri kunjung tiba sekali lagi. Insya-Allah pada tahun ini, sambutan Hari Raya Aidilfitri dalam suasana yang berbeza daripada dua tahun sebelum ini.

“Ini bermakna sambutan Hari Raya akan mempertemukan semula antara keluarga, boleh merentas sempadan, kita telah boleh menyempurnakan solat seperti mana dalam keadaan yang biasa. Ia satu nikmat, satu rahmat, hasil daripada kejayaan dan kemenangan bersama,” katanya dalam video ucapan sempena Aidilfitri yang dimuat naik ke Facebook Kementerian Komunikasi dan Multimedia pada Ahad (1 Mei).

Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein menerusi ciapan di Twitter rasminya pula seolah-olah memahami situasi dihadapi rakyat yang tidak menyangka Aidilfitri disambut hari ini.

“Sah! Esok kita sambut Aidilfitri. Tapi mungkin ada yang masih dalam perjalanan pulang ke kampung. Mungkin ramai yang belum mula bakar lemang, masak ketupat serta rendang. Sama-samalah kita sibuk di dapur malam ini. Selamat #HariRaya #Aidilfitri. Maaf zahir dan batin!” tulisnya.  

Sementara itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar Mahdzir Khalid menzahirkan rasa syukur kerana rakyat berkesempatan untuk pulang berhari raya di kampung pada lebaran ini selepas dua tahun tidak berkesempatan berbuat demikian.

“Pulang ke kampung halaman, ke pangkuan keluarga tercinta. Maka sempena hari lebaran yang bakal tiba, saya doakan seluruh rakyat Malaysia yang dikasihi selamat pulang ke kampung dan tempat asal kita. Selamat Hari Raya Aidilfitri,” ucap beliau.

Menteri Luar Saifuddin Abdullah pula berkata sambutan Hari Raya tahun ini akan lebih meriah apabila sempadan negara dibuka dan aktiviti balik kampung dibenarkan.

"Sambutan Lebaran tahun ini menjadi ruang untuk mengeratkan lagi hubungan setelah lama terpisah demi keselamatan dan kesihatan kita semua,” katanya menerusi Twitter.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Muhyiddin Yassin berkata suasana berhari raya di negara kembali normal seperti tahun-tahun sebelum pandemik COVID-19 walaupun masih mengikut SOP yang ditetapkan ekoran Malaysia memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik pada 1 April lalu.

“Semua ini adalah hasil daripada langkah, tindakan dan pendekatan drastik kerajaan sejak dari awal pandemik ini bermula dan komitmen serta disiplin rakyat seluruhnya dalam memerangi wabak COVID-19,” ujarnya.

Justeru, beliau melahirkan rasa syukur kerana beberapa cadangan dan syor yang dibuat MPN diterima kerajaan.

Antaranya, pembukaan pintu sempadan negara sepenuhnya serta peralihan ke fasa endemik yang menjadi strategi bagi membolehkan rakyat kembali kepada kehidupan normal.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan