Skip to main content

Dunia

Saman fitnah: Muhyiddin fail pernyataan pembelaan pada 17 Jan

Muhyiddin Yassin telah memfailkan pernyataan pembelaan dalam saman fitnah yang difailkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada 17 Januari lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Saman fitnah: Muhyiddin fail pernyataan pembelaan pada 17 Jan

(Gambar fail: BERNAMA)

Diterbitkan : 19 Jan 2023 04:26PM

KUALA LUMPUR: Muhyiddin Yassin telah memfailkan pernyataan pembelaan dalam saman fitnah yang difailkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada 17 Januari lalu.

Saman itu berhubung ucapan didakwa berbaur fitnah mengenai Encik Anwar menerima gaji sebanyak RM15 juta (S$4.5 juta) semasa berkhidmat sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Selangor.

Peguam S.N. Nair, yang mewakili Encik Anwar selaku plaintif, berkata semasa pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Penolong Pendaftar Nur Shasha Hidayah Nor Azahar hari ini (19 Jan), mahkamah mengarahkan anak guamnya memfailkan jawapan kepada pernyataan pembelaan pada 16 Februari ini.

“Mahkamah menetapkan pengurusan kes seterusnya pada 23 Februari secara dalam talian di hadapan penolong pendaftar yang sama,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp.

Encik Anwar turut diwakili peguam Jaden Phoon Wai Ken dan Wong Guo Jin manakala peguam Chetan Lachman Jethwani mewakili Encik Muhyiddin sebagai defendan.

Dalam saman itu, Encik Anwar, 75 tahun, mendakwa pada 5 Disember lalu bahawa Encik Muhyiddin, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), telah membuat kenyataan fitnah itu dalam satu ucapan semasa ‘Grand Finale Perikatan Nasional Padang Serai’ di Taman Selasih, Kulim, sebagai menyokong calon PN, Azman Nasrudin, bagi Pilihan Raya Umum ke-15 dengan ratusan pengunjung telah menghadiri ceramah tersebut.

Sehubungan itu, Encik Anwar menuntut Encik Muhyiddin antaranya ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, ganti rugi pampasan selain perintah injunksi untuk menghalangnya daripada terus menerbitkan atau mengedarkan kenyataan fitnah serupa.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita