Salman Rushdie tidak lagi guna alat bantuan pernafasan, sudah boleh bercakap, kata teman
Salman Rushdie menunjukkan tindak balas positif apabila dia tidak lagi bergantung kepada mesin bantuan pernafasan.

(Gambar: CHARLY TRIBALLEAU AFP/File)
MOSCOW: Novelis Salman Rushdie, yang ditikam ketika festival sastera di New York, kini tidak lagi menggunakan alat bantuan pernafasan dan mampu bercakap, menurut rakan Salman, Aatish Ali Taseer.
"Baru sahaja mendapat berita: “Salman tidak lagi menggunakan ventilator dan mampu bercakap (dan bergurau)…,” tulis Taseer di media sosial pada malam Sabtu, lapor Sputnik.
Pada Jumaat (12 Ogos), Rushdie, 75 tahun, ditikam dua kali oleh Hadi Matar, 24 tahun, ketika hendak menyampaikan ceramah di Institusi Chautauqua di barat New York.
Ejennya, Andrew Wylie sebelum ini memberitahu media bahawa penulis itu telah dikejarkan ke hospital dan menggunakan alat bantuan pernafasan, serta tidak boleh bercakap.
Penulis kontroversi itu berkemungkinan buta sebelah mata dan turut mengalami kerosakan pada hati serta saraf di tangannya putus, katanya.
Matar telah ditangkap dan didakwa dengan dua tuduhan iaitu cubaan membunuh tahap dua dan serangan peringkat dua, dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah.
Jika sabit kesalahan, Matar bakal berdepan hukuman penjara sehingga 25 tahun.
Rushdie ialah penulis kelahiran India yang terkenal dan memenangi pelbagai hadiah sastera serta pernah mencetuskan kontroversi menerusi buku tulisannya "The Satanic Verses" yang dikatakan menghina Islam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.