Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Salah satu manuskrip Al-Quran tertua di dunia dipamerkan di Paris

Anggaran Waktu Membaca:
Salah satu manuskrip Al-Quran tertua di dunia dipamerkan di Paris

(Gambar hiasan: Cadbury Research Library, University of Birmingham)

Diterbitkan : 10 Nov 2022 11:23PM Dikemas Kini : 11 Nov 2022 09:29AM

KUALA LUMPUR: Salah satu manuskrip Al-Quran tertua di dunia, Al-Quran Kattalanggar, akan dipamerkan di Paris pada akhir bulan November ini dan didedikasi buat Uzbekistan.

Dua muka surat daripada manuskrip berusia beberapa abad itu akan dipamerkan dalam pameran 'Treasures of the Oases Uzbekistan. At the Crossroads of Caravan Routes', yang akan diadakan di Louvre dari 23 November 2022 hingga 6 Mac 2023.

Satu lagi pameran, 'On the Road to Samarkand. Colors and Splendours of Uzbekistan', akan diadakan di Institut Dunia Arab dari 23 November 2022 hingga 4 Jun 2023.

Menurut kenyataan yang diterima Bernama daripada kedutaan Uzbekistan, Al-Quran Kattalangar abad kelapan itu merupakan antara manuskrip terpenting dunia Islam.

Al-Quran Kattalangar mempunyai nilai penting yang besar bagi Islam dan Muslim kerana ia menunjukkan nilai-nilai yang membentuk warisan budaya serta sejarah tamadun manusia, menurut kenyataan itu.

Al-Quran itu berada di masjid Langar-ota di daerah Kamashi di wilayah Kashkadarya, Uzbekistan, untuk tempoh masa yang lama.

Dalam dunia Islam, ia dianggap sebagai satu daripada Mushaf paling kuno.

Ahli arkeologi di Muzium Louvre dan kurator pameran itu, Rocco Rante, dipetik sebagai berkata bahawa adalah amat penting untuk memasukkan Al-Quran Kattalangar dalam senarai barang pameran.

“Pengunjung dapat melihat seni kaligrafi dan miniatur unik yang terkandung serta juga Al-Quran itu yang akan dipamerkan dalam sebuah kotak yang direka khas,” katanya.

Pameran 'Treasures of the Oases of Uzbekistan. At the Crossroads of Caravan Routes' juga akan memperincikan sejarah Laluan Sutera, dari bahagian selatan Uzbekistan masa kini.

Ia akan mempamerkan unsur-unsur seni monumental dan kuda-kuda, lukisan dinding, ukiran ciri istana serta objek kraftangan. 

Sementara itu, pameran 'On the Road to Samarkand. Colors and Splendours of Uzbekistan' akan menonjolkan lebih 300 pameran daripada sembilan muzium di Uzbekistan.

Ia merangkumi koleksi kain, pakaian, alas kaki dan penutup kepala, barang kemas antara akhir abad ke-19 hingga pertengahan abad ke-20, chapan (sejenis pakaian) bersulam emas dari zaman Amiriah Bukhara, termasuk lukisan 'avant-garde' Turkestan daripada koleksi muzium negara Uzbekistan.

“Proses pemulihan turut dijalankan ke atas patung Buddha "Garland Bearer" (abad ke-1 SM dan abad ke-1 Masihi) - permukaannya telah dibersihkan dan bahagian yang rosak disatukan.

“Sejak tiga tahun lalu, persediaan rapi untuk pameran itu telah dijalankan.

“Beberapa ekspedisi antara Uzbekistan dengan Perancis membawa kepada banyak penemuan arkeologi.

“Tambahan pula, pakar pemulih dari Louvre termasuk dari Uzbekistan menjalankan kerja-kerja pemulihan berskala besar dalam beberapa peringkat, manakala proses pemulihan beberapa artifak masih diteruskan sehingga hari ini,” menurut kenyataan itu.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan