Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Salah guna dadah di Malaysia pada tahap membimbangkan

Anggaran Waktu Membaca:
Salah guna dadah di Malaysia pada tahap membimbangkan

Gambar fail bahan psikoaktif baharu. (Gambar: iStock)

PUTRAJAYA: Isu penyalahgunaan dadah di Malaysia kini berada pada tahap yang amat membimbangkan dan menjadi ancaman besar kepada keselamatan awam, kestabilan ekonomi dan struktur sosial negara.

Demikian ditekankan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, berdasarkan data terkini terdapat 192,857 penyalahgunaan dan penagih dadah di Malaysia, dan 61 peratus daripadanya berusia antara 15 hingga 39 tahun pada 2024.

"Sebanyak 96 peratus kumpulan ini terdiri lelaki yang didorong oleh pengaruh rakan sebaya dan rasa ingin mencuba," katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah pada Isnin (19 Mei).

Encik Ahmad Zahid berkata, negeri dengan kadar penyalahgunaan dadah tertinggi tertinggi ialah Kelantan dengan 1,130 individu per 100,000 penduduk, diikuti Terengganu (974), Perlis (965) dan Kedah (898).

Melihat kepada trend penyalahgunaan dadah dan cabaran memeranginya yang semakin kompleks, beliau berkata Pelan Komunikasi Antidadah 2025–2027 yang bersifat menyeluruh dan bersasar diluluskan pada Isnin.

Beliau berkata pelan itu menumpukan kepada pendekatan perubahan sikap, peningkatan kesedaran, dan penyampaian maklumat yang tepat melalui sinergi pelbagai agensi ke arah gerakan nasional melawan dadah secara bersama.

Bagi pemantapan rawatan dan pemulihan, beliau berkata Pusat Saringan dan Penilaian Dadah (DAC) oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), dengan pendekatan titik permulaan tunggal dilaksanakan bagi mempercepat proses saringan dan intervensi bagi Orang Kena Tahan (OKT), tanpa perlu menunggu keputusan patologi.

"Hingga 5 April lalu, seramai 261 orang kena tuduh (OKT) menjalani penilaian di DAC Kuala Muda, Kedah," katanya.

Encik Ahmad Zahid berkata, jawatankuasa berkenaan turut mengambil maklum dapatan Pusat Racun Negara mengenai kemunculan rokok elektronik atau vape berperisa 'mushroom' mengandungi sebatian psikoaktif seperti psilosibin, dan psilosin yang boleh menyebabkan halusinasi dan gangguan mental.

"Bahan ini berisiko tinggi kepada kanak-kanak, dan belia serta memerlukan tindakan penguatkuasaan segera dan lebih agresif," katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Kementerian Dalam Negeri Malaysia akan memanfaatkan Analisis Rangkaian Data Jenayah untuk mengenal pasti pola jenayah berkaitan dadah secara lebih terperinci sekali gus membantu perumusan strategi yang lebih bersasar serta berkesan.

Encik Ahmad Zahid berkata kerajaan tidak akan berkompromi dalam pelaksanaan Dasar Dadah Negara (DDN) yang merangkumi pencegahan, rawatan, pemulihan, dan penguatkuasaan.

Beliau menegaskan bahawa perjuangan membanteras dadah adalah tanggungjawab bersama dan memerlukan penglibatan aktif semua lapisan masyarakat, termasuk rakyat serta pertubuhan masyarakat sivil.

"Demi generasi masa depan yang bebas daripada ancaman dadah, kita tidak akan berganjak walau seinci pun dalam memerangi musuh nombor satu negara ini," katanya.
Sumber : Bernama/NK/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan