Skip to main content

Dunia

Saksi kontak rapat kes COVID-19, perbicaraan 1MDB ditangguhkan

Kes perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan Najib Razak ditangguhkan hari ini (18 Feb), selepas mahkamah dimaklumkan yang saksi pendakwaan ke-10 merupakan kontak rapat kepada seorang rakannya yang diuji positif COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Saksi kontak rapat kes COVID-19, perbicaraan 1MDB ditangguhkan

(Gambar: Agensi berita)

Diterbitkan : 18 Feb 2021 03:48PM Dikemas Kini : 18 Feb 2021 03:53PM

KUALA LUMPUR: Kes perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan Najib Razak ditangguhkan hari ini (18 Feb), selepas mahkamah dimaklumkan yang saksi pendakwaan ke-10 merupakan kontak rapat kepada seorang rakannya yang diuji positif COVID-19.

Hakim Collin Lawrence Sequerah menangguhkan perbicaraan itu ke 3 Mei selepas Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memaklumkan perkara itu apabila perbicaraan itu disambung semula selepas mahkamah berehat sebentar.

“Yang Arif, ketika sesi rehat Mohd Hazem Abd Rahman, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, menerima satu pesanan ringkas daripada rakannya, yang memaklumkan rakannya itu telah diuji positif COVID-19.

“Isnin lepas, saksi kami bertemu rakannya dalam sebuah bilik mesyuarat untuk tempoh lebih satu jam dan kurang dua jam. Mereka duduk berjarakan dua meter tetapi mesyuarat mereka diadakan lebih daripada satu jam.

“Sehubungan itu, saya memohon arahan daripada Yang Arif, sama ada untuk meneruskan dengan beliau (keterangan Mohd Hazem) hari ini atau untuk memberhentikan perbicaraan untuk masa ini,” kata Ahmad Akram dan menambah bahawa sukar bagi pihak pendakwaan menyediakan saksi lain untuk memberikan keterangan hari ini.

Peguam Bela bekas perdana menteri itu Muhammad Shafee Abdullah kemudiannya bangun dan menyatakan yang mereka “tidak mahu mengambil risiko.”

“Saksi boleh jadi kontak rapat utama (primary exposure) dan kita adalah peringkat kedua. Jadi kami tidak mahu mengambil sebarang risiko,” katanya.

Berikutan itu, Hakim Sequerah kemudiannya menangguhkan perbicaraan ke 3 Mei dan mengarahkan pihak pendakwaan untuk mengemas kini status Mohd Hazem kepada mahkamah.

“Bukanlah suatu yang berhemat untuk mengambil risiko itu dan kita tidak tahu jika Mohd Hazim adalah asymptomatik”, katanya.

Pada 10 Feb, perbicaraan ditangguhkan akibat Mohd Hazem mengalami demam dan menjalani ujian COVID-19. Bagaimanapun beliau diuji negatif COVID-19.

Najib, 67, berhadapan dengan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion (S$755.3 juta) daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan panggubahan wang haram melibatkan junmlah yang sama.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita