Skip to main content

Dunia

Saksi kes rasuah Najib dedah cadangannya lantik pengarah eksekutif 1MDB

Mahkamah Tinggi pada Khamis (6 Ogos) diberitahu bekas Perdana Menteri Najib Razak mencadangkan supaya Mohd Hazem Abdul Rahman dilantik sebagai pengarah eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 2012.

Anggaran Waktu Membaca:
Saksi kes rasuah Najib dedah cadangannya lantik pengarah eksekutif 1MDB

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 07 Aug 2020 08:54AM Dikemas Kini : 07 Aug 2020 08:56AM

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Khamis (6 Ogos) diberitahu bekas Perdana Menteri Najib Razak mencadangkan supaya Mohd Hazem Abdul Rahman dilantik sebagai pengarah eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 2012.

Nama Mohd Hazem muncul buat pertama kali dalam perbicaraan kes rasuah 1MDB membabitkan RM2.3 bilion (S$750,000) yang dihadapi Najib semasa peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed memeriksa balas saksi pendakwaan kesembilan, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Shahrol Azral, yang merupakan CEO 1MDB dari 2009 hingga 2013 berkata beliau pertama kali menerima biodata atau curriculum vitae (CV) Mohd Hazem menerusi ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low pada 2012.

“Jho Low memberitahu saya Mohd Hazem dicadangkan oleh bekas setiausaha peribadi utama Najib, Allahyarham Datuk Azlin Alias. Najib secara peribadi menulis satu nota yang dikepilkan pada CV itu menyatakan 'Hazem akan dilantik sebagai pengarah eksekutif 1MDB'.

“Saya ingin menjelaskan bahawa tiada pengarah eksekutif dalam 1MDB pada ketika itu dan saya mencadangkan (Mohd Hazem) dilantik sebagai ketua pegawai operasi (COO). Apabila beliau dilantik sebagai COO, saya akan pertanggungjawabkan beliau untuk memantau bahagian hartanah 1MDB,” kata saksi berusia 50 tahun itu.

Mahkamah sebelum ini diberitahu bahawa Artikel 117 Memorandum dan Artikel Pertubuhan 1MDB menetapkan bahawa perkara tertentu termasuk pelaburan, penstrukturan semula dan kuasa untuk pengambilan dan pemecatan pekerja perlu mendapat kelulusan Najib selaku perdana menteri.

Kepada soalan lain diajukan Wan Aizuddin, Shahrol Azral, bagaimanapun tidak dapat mengesahkan jika lembaga pengarah meluluskan pelantikan Mohd Hazem tetapi terdapat surat berhubung perkara itu daripada Najib.

Apabila pada 2013 Shahrol Azral ditukarkan ke Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), yang kini tidak lagi wujud, jawatannya sebagai CEO dan pengarah urusan 1MDB diisi oleh Mohd Hazem.

Pada 2015, Mohd Hazem meletak jawatan sebagai CEO 1MDB dan beliau digantikan oleh Arul Kanda Kandasamy.

Saksi itu juga menafikan yang beliau tahu tentang nama International Petroleum Investment Company's (IPIC) dikeluarkan dalam draf akhir Surat Izin (LOC) kepada Kementerian Kewangan untuk memperoleh dana bagi usaha sama (JV) 1MDB-Aabar BVI Ltd.

Najib, 67, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion (S$0.75 bilion) daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang membabitkan jumlah wang yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung 17 Ogos. 

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita