Skip to main content

Dunia

Saksi kes 1MDB tak ragu Jho Low adalah penasihat Najib Razak

Anggaran Waktu Membaca:
Saksi kes 1MDB tak ragu Jho Low adalah penasihat Najib Razak

Cik Joanna Yu Ging Ping. (Gambar: Bernama)

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengurus perhubungan AmBank memberitahu Mahkamah Tinggi pada Khamis (9 Feb) bahawa beliau tidak pernah meragui ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low adalah penasihat kepada Najib Razak, yang ketika itu pengerusi Lembaga Penasihat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Joanna Yu Ging Ping, 52 tahun, berkata Jho Low memperkenalkan dirinya sebagai penasihat kepada Encik Najib dan pihak atasan pengurusan 1MDB yang lain juga merujuk Jho Low sebagai 'bos'.

"Semua pertemuan kami dengan 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi (ketika itu ketua pegawai eksekutif 1MDB), Nik Faisal Ariff Kamil, (ketika itu ketua pegawai pelaburan 1MDB) dan Terence Geh (ketika itu timbalan ketua kewangan 1MDB pegawai) merujuk Jho Low sebagai 'bos' dan Encik Najib sebagai 'bos besar'.


"Beliau (Jho Low) sangat berperanan dalam urusan mereka mengenai 1MDB dan bagi saya, saya percaya beliau adalah penasihat kepada Najib.

"Bagaimanapun, saya tidak melihat Najib di pejabat 1MDB, tetapi saya telah melihat Jho Low.

'Saya percaya apabila Shahrol Azral dan Nik Faisal bercakap tentang urusan, mereka selalu merujuk semula kepada Jho Low. Jadi, saya tidak meragui Jho Low mewakili Najib," katanya sambil menambah bahawa beliau telah diperkenalkan Jho Low pada 2007.

Cik Yu berkata demikian semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib pada perbicaraan Najib dalam kes penyelewengan RM2.3 bilion (S$711 juta) daripada dana 1MDB.

Semasa ditanya Encik Ahmad Akram sama ada terdapat mana-mana individu yang memberitahunya bahawa Jho Low bukan penasihat Encik Najib, Cik Yu menjawab tiada.

Saksi pendakwaan ke-41 itu berkata satu lagi komunikasi oleh Jho Low yang membuatkan beliau yakin ahli perniagaan itu mewakili Encik Najib ialah mesej melalui BlackBerry Messenger (BBM) berhubung isu kad kredit AmBank mantan Perdana Menteri itu.

"Saya tidak mempunyai sebab untuk meraguinya (Jho Low), apabila beliau berkata (dalam mesej BBM) bahawa cek telah ditulis, apabila berkata kad kredit tidak boleh digunakan, ada transaksi ditolak, dan apabila berkata ada masuk dana ke akaun Najib, saya tidak sangsi beliau mewakili (Najib) apabila beliau berkomunikasi dengan saya.

"Saya tidak meragui Jho Low berhubung dengan Najib, terutamanya mengenai kad kredit di Itali bahawa bank itu menolak transaksi tertentu, saya berasa amat terkilan kerana menolak transaksi kad kredit PM. Yang itu saya bimbang akan ada kesan dan saya percaya Jho Low berkomunikasi dengan (Najib) dan beliau (Low) menerima arahan," kata Cik Yu.

Ditanya sebab beliau menghubungi Jho Low berhubung akaun Encik Najib dan tidak menyemak secara peribadi dengan Encik Najib, Cik Yu menjawab: "Ini juga kerana Najib adalah Perdana Menteri Malaysia. Saya tidak fikir saya akan pergi atau menghubungi pejabatnya, itu bukan peringkat saya."

Sementara itu, menjelaskan bagaimana akaun Encik Najib sentiasa ditambah setiap kali pengeluaran berlebihan, Cik Yu berkata akaun itu menerima dana di kaunter daripada dua individu dikenali sebagai Kee Kok Thiam dan Josie.

Ahmad Akram: Adakah mereka orang Arab?
Yu: Tidak. Setahu saya, mereka (Kee dan Josie) adalah orang Cina Malaysia.

Encik Najib, 69 tahun, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk menerima rasuah berjumlah RM2.3 bilion (S$711 juta) daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.

Bagi tuduhan rasuah, Encik Najib didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad cawangan Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014, manakala pertuduhan pengubahan wang haram didakwa dilakukan di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung pada 27 Februari.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita