Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Saksi bertegas tidak berurusan secara langsung dengan Najib Razak atas dasar protokol

Anggaran Waktu Membaca:
Saksi bertegas tidak berurusan secara langsung dengan Najib Razak atas dasar protokol

Peguam utama Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah. (Gambar fail: Bernama)

KUALA LUMPUR: Bekas Pengurus Perhubungan AmBank yang mengendalikan akaun Najib Razak pada Khamis (15 Dis) memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau tidak pernah berurusan secara langsung dengan bekas perdana menteri itu berkenaan akaunnya kerana “protokol”.

Joanna Yu Ging Ping, 51 tahun, berkata mengikut tanggapannya sendiri beliau tidak seharusnya berurusan secara langsung dengan Encik Najib yang merupakan perdana menteri pada masa itu.

“Beliau adalah Perdana Menteri Malaysia pada masa itu. Beliau seorang yang sibuk. Selalunya, orang seperti Encik Cheah Tek Kuang (bekas Pengarah Urusan AmBank) dan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low yang akan bertemu Najib bukannya orang seperti kita,” katanya.
Saksi ke-41 pendakwaan itu berkata demikian ketika disoal peguam utama Encik Najib, Muhammad Shafee Abdullah dalam perbicaraan kes Encik Najib yang melibatkan penyelewengan RM2.3 bilion (S$704 juta) daripada dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Dalam soalan lain, saksi itu juga bersetuju tidak pelik untuk orang yang sibuk seperti Encik Najib mempunyai seseorang yang diberi mandat untuk menguruskan akaunnya.

Encik Najib sudahpun melantik Nik Faisal Ariff Kamil, bekas ketua pegawai pelaburan 1MDB yang sehingga kini tidak dapat dikesan, selaku seorang yang diberikan mandat menguruskan akaunnya.

Sebelum ini, saksi itu memberi keterangan bahawa beliau hanya berurusan dengan Jho Low atau Nik Faisal berhubung akaun Encik Najib.

“Berdasarkan pengalaman saya, hanya Najib telah melantik seorang yang diberikan mandat menguruskan akaunnya dan ini adalah kali pertama saya mengendalikan akaun yang diuruskan seseorang,” kata Cik Yu.

Bagaimanapun, Encik Muhammad Shafee berkata beliau sendiri sudah memberikan mandat kepada dua orang untuk menguruskan akaunnya.

Encik Najib, 69 tahun, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion (S$704 juta daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Pebicaraan di hadapan Hakim Collin Sequerah bersambung pada 27 Januari tahun depan.
 
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan