Sakit campak di Amerika jangkaui 1,000 kes buat kali pertama dalam 5 tahun

Papan tanda memberitahu orang ramai tentang pencegahan dan ujian sakit campak di Mahkamah Daerah Gaines di Seminole, Texas, Amerika Syarikat pada 6 Apr 2025. (Gambar: Justin Rex untuk The Texas Tribune melalui REUTERS)
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika melaporkan 1,001 kes sakit campak di 31 daerah, setakat Khamis (8 Mei).
Perangkaan CDC tidak menggambarkan data terkini dari Texas, pusat wabak campak semasa, di mana jumlah kes telah meningkat dari tujuh kepada 709 kes.
Para penyelidik telah memberi amaran bahawa Amerika Syarikat berada pada ambang kritikal sakit campak endemik, suku abad selepas penyakit itu diisytiharkan berjaya ditangani di negara itu.
Jangkitan sebelum ini hanya melepasi paras 1,000 pada 2019 apabila negara itu melaporkan sebanyak 1,274 kes.
"Saya fikir kita masih berisiko melihat angka ini sekurang-kurangnya kekal stabil, jika tidak terus meningkat dari semasa ke semasa," kata Lisa Maragakis, pengarah kanan pencegahan jangkitan di Johns Hopkins Medicine.
Menurut CDC, 13 peratus daripada mereka yang dijangkiti penyakit tersebut pada tahun ini telah dimasukkan ke hospital. Sebanyak tiga kematian disahkan setakat ini - dua gadis muda di Texas dan seorang dewasa di New Mexico. Ketiga-tiganya tidak divaksin.
Wabak di Texas berpusat di masyarakat di Mennonite dan telah merebak ke wilayah-wilayah jiran, termasuk New Mexico, Oklahoma dan Kansas.
North Dakota adalah wilayah terbaharu yang melaporkan wabak tersebut, dengan sembilan kes setakat ini. Kira-kira 180 pelajar sekolah telah dikuarantin di rumah, menurut North Dakota Monitor.
"Ini adalah virus yang merupakan penyakit berjangkit paling mudah menular dalam kalangan manusia, dan ia kini merebak seperti kebakaran liar," kata Paul Offit, pakar pediatrik dan pakar vaksin di Hospital Kanak-Kanak Philadelphia, kepada AFP.
Beliau turut memberi amaran bahawa jumlah kes sebenar mungkin jauh lebih tinggi, kerana orang ramai mengelak daripada mendapatkan rawatan perubatan.
"Tiga kematian itu menyamai jumlah kematian akibat sakit campak dalam tempoh 25 tahun di negara ini."
Para pakar pediatrik Amerika dan pakar penyakit berjangkit mengatakan bahawa perjuangan menentang peningkatan kes sakit campak di seluruh negara itu dihambat oleh kekurangan sokongan kuat untuk vaksinasi oleh pegawai kesihatan pemerintah dan dengan kenyataan mengelirukan tentang rawatan tidak terbukti yang mengelirukan ibu bapa.
Vaksin sakin campak adalah 97 peratus berkesan selepas mendapatkan dua dos, menurut CDC.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.