Saintis UK temui gen berupaya gandakan risiko maut angkara COVID-19
Para saintis dari Britain berhasil mengenal pasti sejenis gen yang menggandakan risiko maut angkara jangkitan COVID-19, sekali gus memberikan pandangan baru tentang mengapa sesetengah individu lebih mudah terjangkit virus itu berbanding orang lain.
(Gambar: AFP)
LONDON: Para saintis dari Britain berhasil mengenal pasti sejenis gen yang menggandakan risiko maut angkara jangkitan COVID-19, sekali gus memberikan pandangan baru tentang mengapa sesetengah individu lebih mudah terjangkit virus itu berbanding orang lain, di samping membuka lebih banyak peluang untuk menghasilkan ubat-ubatan yang lebih bersasar.
Sekitar 60 peratus individu yang berketurunan dari Asia Selatan membawa gen berisiko tinggi itu, menurut para pengkaji dari Universiti Oxford pada Jumaat (5 Nov).
Menurut para pengkaji itu lagi, sebahagian daripada penemuan itu berhasil menjelaskan jumlah kematian yang tinggi dalam kalangan sesetengah masyarakat di Britain dan kesan COVID-19 di benua India.
Para saintis mendapati risiko lebih tinggi itu bukan disebabkan oleh perbezaan pada pengekodan genetik protein tetapi disebabkan oleh perbezaan pada DNA yang menghasilkan sejenis "suis" untuk menghidupkan gen tersebut.
Isyarat genetik itu mungkin boleh menjejas sel-sel dalam paru-paru manakala versi gen yang lebih berisiko tinggi, iaitu LZTFL1, berkemungkinan menghalang sel-sel yang melapisi saluran pernafasan dan paru-paru daripada bertindak balas sewajarnya terhadap virus tersebut.
Sungguhpun demikian, versi gen yang lebih berisiko tinggi itu tidak menjejas sistem keimunan tubuh yang menghasilkan antibodi untuk melawan jangkitan, menurut para pengkaji.
Menurut mereka lagi, para individu yang membawa versi gen ini seharusnya dapat bertindak balas secara normal terhadap vaksin.
"(Kajian ini) menunjukkan bahawa cara paru-paru bertindak balas terhadap jangkitan sangat penting. Ia penting kerana kebanyakan rawatan tertumpu kepada cara mengubah sistem keimunan tubuh bertindak balas terhadap jangkitan virus," kata Profesor James Davies, ketua bersama kajian itu.
Dapatan kajian itu diterbitkan dalam jurnal Nature Genetics.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.