Skip to main content

Dunia

Saintis pantau risiko bencana susulan selepas banjir dahsyat Nepal

Seminggu selepas runtuhan batu dan ais glasier di kawasan beraltitud tinggi menyebabkan air dan serpihan melanda wilayah sempadan Nepal-Tibet, para saintis kini memantau dengan teliti lembah Himalaya yang terjejas bagi mengesan tanda-tanda bahaya selanjutnya.

Anggaran Waktu Membaca:
Saintis pantau risiko bencana susulan selepas banjir dahsyat Nepal

Anggota Tentera Nepal dan pasukan penyelamat menjalankan operasi mencari dan menyelamat berhampiran tapak projek hidroelektrik menyusuli banjir kilat dan tanah runtuh yang meragut nyawa di daerah Rasuwa, Nepal, dalam gambar edaran yang diperoleh Reuters pada 1 September 2026. (Gambar: Tentera Nepal/Edaran menerusi REUTERS)

Diterbitkan : 02 Sep 2026 04:00PM
NEPAL/TIBET: Seminggu selepas runtuhan batu dan ais glasier di kawasan beraltitud tinggi menyebabkan air dan serpihan melanda wilayah sempadan Nepal-Tibet, para saintis kini memantau dengan teliti lembah Himalaya yang terjejas bagi mengesan tanda-tanda bahaya selanjutnya.

Para pakar memberi amaran bahawa meskipun arus deras peringkat awal sudah berlalu, kejadian tersebut meninggalkan kawasan yang tidak stabil serta sejumlah besar lumpur dan batu yang mungkin bergerak semula akibat hujan monsun.

Penolong Profesor dalam bidang bencana alam di Universiti Cambridge, Maximillian Van Wyk de Vries, menyifatkan bencana tersebut sebagai satu "rantaian melibatkan pelbagai bencana" – di mana satu bencana mencetuskan bencana lain secara beruntun.

"Ini merupakan satu kejadian tanah runtuh yang melibatkan batu dan ais yang kemudiannya mencetuskan banjir besar sehingga menyebabkan kemusnahan yang begitu besar. Dan kami tahu kejadian itu turut mencetuskan tanah runtuh susulan," kata beliau.

Penolong Prof Van Wyk de Vries memberitahu CNA Asia First pada Rabu (2 Sep) bahawa para saintis sedang memantau dengan teliti kawasan asal runtuhan serta lembah di hilir bagi mengesan kemungkinan bahaya.

"Terdapat kemungkinan berlaku lagi runtuhan di sekitar kawasan asal yang sudah menjadi tidak stabil. Namun, di sepanjang lembah ini juga terdapat lapisan lumpur dan batu setebal beberapa meter, yang boleh dihanyutkan semula jika hujan lebat berlaku dan boleh mencetuskan banjir baharu."

Imej satelit membantu para saintis menjejaki perubahan di kawasan yang sukar untuk dilalui itu, namun terdapat batasan terhadap apa yang dapat dikesan.

Penolong Prof Van Wyk de Vries berkata data dari darat digabungkan dengan data satelit, dengan pemantauan satelit dapat mengesan sesetengah kejadian tanah runtuh yang menunjukkan tanda-tanda amaran seperti rekahan di lereng bukit atau pergerakan awal tanah.

Beliau berkata para penyelidik melihat beberapa petunjuk awal bahawa kawasan yang terlibat dalam runtuhan glasier itu mungkin menunjukkan tanda-tanda sedemikian.

Namun, sesetengah kejadian tanah runtuh boleh berlaku tanpa sebarang tanda amaran yang dapat dikesan menerusi satelit. Dalam keadaan sedemikian, para saintis perlu bergantung kepada data cuaca untuk meramalkan kejadian tersebut.

PERKUKUH KESIAPSIAGAAN BENCANA

Meramalkan lokasi kejadian tanah runtuh atau banjir seterusnya hanyalah sebahagian daripada usaha menguruskan risiko.

Sama ada sesuatu ancaman bertukar menjadi bencana kemanusiaan merupakan perkara yang lebih rumit dan melibatkan faktor seperti tahap pendedahan kepada bahaya dan kerentanan, kata Dekan Sekolah Tenaga dan Sekitaran di City University of Hong Kong, Benjamin Horton.

"'Pendedahan' bermakna menempatkan orang ramai di kawasan berbahaya, manakala 'kerentanan' merujuk kepada daya tahan masyarakat tersebut, misalnya disebabkan oleh ketiadaan sistem amaran atau piawaian pembinaan yang lemah," kata Encik Horton kepada Mediacorp.

Bagi mengurangkan kesan bencana pada masa depan, pihak berkuasa perlu meneliti bukan sahaja ancaman itu sendiri, tetapi juga lokasi penduduk dan prasarana serta tahap kesiapsiagaan masyarakat dalam menghadapinya.

Beliau berkata perkongsian data yang lebih baik dan pelaburan lebih besar dalam pemantauan diperlukan bagi mengenal pasti kawasan yang mungkin dilanda bencana pada masa depan.

"Kita memerlukan ketelusan data daripada semua pihak supaya kita dapat memahami kawasan yang berisiko menjadi lokasi bencana seterusnya," katanya.

Beliau turut menggesa masyarakat saintifik supaya meningkatkan pelaburan dalam program pemantauan yang lebih menyeluruh.

Namun, keluasan dan kerumitan kawasan Himalaya menjadikan usaha tersebut satu cabaran.

"Terdapat begitu banyak glasier di seluruh Himalaya, maka memantau kesemuanya merupakan tugas yang amat mencabar," kata Penolong Prof Van Wyk de Vries.

Setiap glasier dan kawasan sekitarnya juga mempunyai ciri-ciri berbeza, justeru tiada "satu pendekatan yang sesuai digunakan untuk semua", kata beliau.

Walaupun pengurangan atau penipisan glasier berlaku secara beransur-ansur selama bertahun-tahun, keruntuhan glasier berlaku secara mendadak.

Dalam bencana di Nepal, kejadian tanah runtuh membabitkan batu di bawah glasier turut membawa bersama sebahagian ais. Para saintis masih berusaha untuk memahami secara terperinci bagaimana runtuhan tersebut berlaku.

Bagi Penolong Prof Van Wyk de Vries, antara pengajaran terbesar daripada bencana itu adalah pihak berkuasa perlu melihat melangkaui lembah tempat banjir tersebut berlaku.

"Saya rasa apa yang benar-benar perlu kita lakukan sekarang adalah meneliti banjir ini dan menyedari bahawa banjir seperti ini mungkin boleh berlaku di sekitar 100 lembah lain di seluruh Himalaya," kata beliau.

Seiring dengan penekanan Encik Horton terhadap sistem amaran dan lokasi prasarana, beliau berkata pertimbangan sedemikian perlu diterapkan di seluruh kawasan pergunungan tersebut.

LATAR PERUBAHAN IKLIM

Perubahan iklim menambah satu lagi lapisan risiko kepada persekitaran pergunungan yang sememangnya kompleks.

"Di Himalaya, suhu meningkat lebih satu darjah Celsius dalam tempoh hanya 50 tahun," kata Encik Horton.

Dalam persekitaran yang mengandungi sejumlah besar ais, perubahan suhu yang kecil sekalipun boleh membawa kesan yang ketara.

Encik Horton juga berkata perubahan iklim meningkatkan kekerapan kejadian cuaca ekstrem.

"Apa yang sering kami dapati mengenai kejadian ekstrem, sama ada tanah runtuh atau banjir, gelombang haba dan kebakaran hutan, ataupun taufan, adalah kejadian pada skala dan kekerapan seperti ini hampir mustahil berlaku tanpa perubahan iklim."

Namun, menentukan sejauh mana perubahan iklim menyumbang kepada sesuatu kejadian tertentu seperti yang berlaku di Nepal adalah lebih sukar.

Penolong Prof Van Wyk de Vries berkata meskipun perubahan iklim "sememangnya" menyebabkan glasier di kawasan itu berkurangan dengan lebih pantas, ia lebih sukar untuk menentukan sama ada pengurangan glasier itu meningkatkan kemungkinan kejadian tersebut atau menyebabkan kesannya menjadi lebih besar.

"Saya akan katakan bahawa mengaitkan kejadian khusus ini dengan perubahan iklim amat mencabar buat masa ini dan masih banyak kajian yang perlu dilakukan."
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita