Saintis M'sia berpangkalan di Cambridge menang 'Anugerah Nobel untuk Kajian Barah'
Saintis Malaysia yang berpangkalan di United Kingdom, Dr Serena Nik-Zainal dianugerahkan Hadiah Penyelidikan Barah Dr Josef Steiner 2019 atas kejayaannya menjalankan kajian untuk mempercepat penafsiran holistik genom barah.
Dr Serena Nik-Zainal. (Gambar: @Maszlee Malik/Instagram)
KUALA LUMPUR: Saintis Malaysia yang berpangkalan di United Kingdom, Dr Serena Nik-Zainal dianugerahkan Hadiah Penyelidikan Barah Dr Josef Steiner 2019 atas kejayaannya menjalankan kajian untuk mempercepat penafsiran holistik genom barah.
Hadiah yang turut dikenali sebagai 'Hadiah Nobel untuk Kajian Barah' itu bakal dianugerahkan kepada Dr Serena secara bersama dengan rakan penyelidikan beliau, Dr Paul Calleja dan Dr Ignacio Medina dari University of Cambridge, di University of Bern di Switzerland, lapor Astro Awani.
Menurut Jabatan Genetik Perubatan University of Cambridge, Dr Serena juga dijadual untuk membentangkan kajiannya ketika majlis penganugerahan nanti.
Astro Awani melaporkan bahawa kejayaan beliau turut dikongsi Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menerusi Instagramnya.
Kajian bertajuk “Accelerating holistic cancer genome interpretation towards the clinic” atau "Mempercepat penafsiran genom barah holistik ke klinik" mendapat perhatian juri memandangkan kajian itu berjaya menganalisis mutasi dalam tumor barah menggunakan kaedah bioinformatik yang membolehkan pendekatan baru untuk terapi yang disasarkan.
Dr Serena merupakan graduan perubatan di Unit Penyelidikan Barah, University of Cambridge di bawah tajaan Petronas.
Selepas itu, beliau menyambung pelajaran di Institut Wellcome Sanger (WSI) pada 2009.
Beliau kemudiannya dianugerahkan Zamil Saintis Klinisian Lanjutan CRUK pada 2017 sebelum berpindah ke Universiti Cambridge, lapor Astro Awani.
Di universiti, kepakaran Dr Serena membolehkannya untuk mempercepat penafsiran genom yang membolehkan beliau melanjutkan kajiannya ke mekanisme fisiologi yang menyokong mutagenesis.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.