Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Saintis Hong Kong bangunkan teknologi imbasan retina bagi kenal pasti autisme kanak-kanak kecil

Seorang saintis di Hong Kong berjaya menghasilkan satu kaedah yang menggunakan pembelajaran mesin dan kecerdasan buatan untuk mengimbas retina kanak-kanak berusia semuda enam tahun untuk mengesan autisme awal atau risiko autisme.

Anggaran Waktu Membaca:
Saintis Hong Kong bangunkan teknologi imbasan retina bagi kenal pasti autisme kanak-kanak kecil

Prof Benny Zee menunjukkan kaedah imbasan retina bagi pengesanan awal autisme pada Jan 2021 (Gambar: Reuters/Aleksander Solum)

Diterbitkan : 15 Mar 2021 11:01AM Dikemas Kini : 15 Mar 2021 11:10AM

HONG KONG: Seorang saintis di Hong Kong berjaya menghasilkan satu kaedah yang menggunakan pembelajaran mesin dan kecerdasan buatan untuk mengimbas retina kanak-kanak berusia semuda enam tahun untuk mengesan autisme awal atau risiko autisme dan berharap dapat membangunkan produk bagi kegunaan komersial pada tahun ini.

Imbasan retina dapat membantu meningkatkan hasil pengesanan dan rawatan awal bagi kanak-kanak, kata Benny Zee, seorang profesor di Universiti Cina Hong Kong.

"Penting untuk memulakan intervensi awal memandangkan mereka sedang membesar, mereka masih membangun. Jadi ada peluang yang lebih baik untuk meraih kejayaan," kata Prof Zee.

Kaedahnya menggunakan kamera dengan resolusi tinggi dengan perisian komputer baru yang berupaya menganalisis gabungan faktor termasuk lapisan serat dan saluran darah dalam mata.

Teknologi itu juga boleh digunakan untuk mengenal pasti kanak-kanak yang berisiko mengalami autisme dan memasukkan mereka dalam program rawatan lebih awal, kata beliau.

Seramai 70 kanak-kanak diuji menggunakan teknologi tersebut, 46 dengan autisme dan kumpulan kawalan seramai 24 kanak-kanak. Teknologi tersebut berupaya mengenal pasti kanak-kanak dengan autisme 95.7 peratus daripada masa ujian. Purata usia yang diuji adalah 13 tahun, dengan peserta termuda berusia enam tahun.

Hasil kajian Prof Zee diterbitkan dalam EClinicalMedicine, jurnal perubatan yang turut dikaji oleh para cendekiawan lain.

Para pakar autisme menyambut baik hasil kajiannya tetapi mengatakan masih ada stigma yang ketara, dengan ibu bapa sering enggan mempercayai anak-anak mereka mengalami autisme walaupun terdapat tanda-tanda yang jelas.

"Berkali-kali, ibu bapa pada awalnya akan menafikannya," kata Dr Caleb Knight, yang mengendalikan sebuah pusat privet bagi terapi autisme.

"Sekiranya terdapat ujian perubatan atau penanda biologi seperti ini, ia mungkin akan memudahkan ibu bapa untuk tidak menafikannya dalam tempoh yang lebih lama dan dengan itu anak mereka akan dapat dirawat lebih awal."

Prof Zee turut memberitahu Reuters bahawa kajiannya bertujuan untuk menjadi alat tambahan kepada penilaian profesional oleh karyawan jagaan kesihatan yang bertauliah.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan